suria

Pekerja Penghantar Didenda RM3,000, Ugut Pegawai Konsul Suruhanjaya Tinggi British

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja penghantar didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah mengugut seorang pegawai konsul Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ogos lepas.

Majistret Suzarika Sahak memerintahkan Mohd Roslan Ahmad, 46, menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Mohd Roslan didakwa melakukan ugutan jenayah dengan 'memberi ancaman serangan pengganas' ke atas Joanne Low, 31, dengan niat menyebabkannya ketakutan dan rasa gementar.

Dia didakwa melakukan ugutan jenayah tersebut menggunakan telefon bimbit dengan meninggalkan pesanan suara ke peti pesanan suara telefon talian tetap milik Pesuruhjaya Tinggi British, dengan menyembunyikan nama dan tempat tinggalnya daripada diketahui.

Mohd Roslan yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British, 185 Jalan Ampang di sini pada 9.43 malam, 19 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, sekali jika sabit kesalahan.

Mohd Roslan ketika merayu untuk meringankan hukuman memberitahu mahkamah bahawa dia bertindak demikian kerana sangat tertekan dengan beban kerja.

"Saya buat macam itu (ugutan jenayah) untuk melepaskan kemarahan kerana tekanan kerja...pendapatan kerja pun tidak seberapa," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman. - BERNAMA

Artikel Lain