suria

Kompaun Maksimum RM1,000 Bagi Kesalahan Buang Sampah Di Tempat Awam - Chor

PUTRAJAYA: Kompaun maksimum RM1000 akan dikenakan bagi kesalahan membuang sampah di tempat awam, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung.

Beliau berkata walaupun peraturan itu masih belum dikuatkuasakan kerana masih di peringkat mendidik orang ramai mengenai tanggungjawab menjaga kebersihan di tempat awam, namun bagi individu yang kerap kali diberikan notis amaran bagi kesalahan itu, kes mereka akan diserah kepada Peguam Negara untuk tindakan.

"Kalau kerap kali seseorang itu melakukan kesalahan itu (diberi notis amaran kerana membuang sampah di tempat awam)...kita akan buka fail siasatan dan diserahkan kepada Peguam Negara. Beliau akan putuskan sama ada untuk mengambil tindakan atau tidak.

"Tetapi buat masa ini kita hanya mahu mendidik orang ramai melalui kempen bagi memberi tahu peranan dan tanggungjawab mereka. Selepas suatu jangka masa, kita akan putuskan untuk menguatkuasa peraturan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen Bulan 3R dan Benci Sampah serta memperkenalkan pakaian seragam anggota penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) di sini, Khamis.

Chor berkata dalam masa terdekat, pegawai penguatkuasa PPSPPA akan diberi kuasa untuk mengeluarkan notis amaran kepada orang ramai yang didapati membuang sampah di tempat awam dan notis amaran itu akan direkodkan dalam sistem PPSPPA.

"Kita (kerajaan) nak bagi rakyat peluang untuk mengamalkan amalan yang patut dibuat," katanya.

Beliau juga berkata kompaun sehingga RM100,000 akan dikenakan kepada syarikat konsesi, syarikat swasta dan orang ramai yang sengaja membuang sisa pembinaan, sisa industri, bahan buangan makanan dan longgokan sampah sarap di lokasi tertentu.

Katanya sebanyak 575 anggota PPSPPA ditempatkan di 38 cawangan di sembilan buah negeri di Semenanjung bagi mengawal selia dan memantau perkhidmatan pengurusan sisa pepejal.

Beliau berkata mereka akan dibekalkan dengan alat khas iaitu 'Handheld' yang mengandungi teknologi 'Intelligent Monitoring An Enforcement Management System' (i-Mems) yang akan merekodkan kedudukan dan waktu pemunggahan sampah oleh syarikat konsesi tersebut.

Katanya orang ramai juga boleh membuat aduan berkaitan sampah, longkang dan rumput dengan menghubungi talian 1-800-88-7472 dan menurutnya tindakan segera akan diambil. BERNAMA

Artikel Lain