suria

KLIA2 Sedia Menarik Lebih 50 Peratus Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Dunia

SEPANG: Terminal baharu penerbangan tambang rendah (LCCT), KLIA2, sudah bersedia menarik lebih daripada 50 peratus syarikat penerbangan tambang rendah dunia apabila memulakan operasinya pada Mei 2013.

Pada masa ini terdapat sejumlah 30 hingga 40 syarikat penerbangan tambang rendah dunia berbanding hanya lima syarikat penerbangan sejak lima tahun lepas.

Pengurus Besar Pembinaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Mohd Zaifuddin Idris berkata pada masa ini 12 syarikat penerbangan tambang rendah terbang dari KLIA2 dan dua lagi syarikat penerbangan akan masuk apabila kemudahan baharu itu siap.

"Kedua-dua syarikat penerbangan tambang rendah itu ialah Malindo Airways dan Firefly," katanya kepada pemberita sempena pemasangan akhir struktur jambatan udara klia2 di sini Jumaat.

Beliau berkata Firefly juga sudah meminta ruang daripada MAHB dan mereka kini membuat persiapan untuk beroperasi menggunakan enjin jet berbanding pesawat enjin turboprop apabila beroperasi di KLIA2.

Mengenai kapasiti penumpang, Mohd Zaifuddin berkata klia2 berkeupayaan memberi perkhidmatan kepada lebih 50,000 penumpang sehari.

"Terminal ini berkeupayaan memberi perkhidmatan kepada 45 juta penumpang setahun, namun pada operasi tahun pertamanya, kami menyasarkan untuk mengurus kira-kira 20 juta penumpang," katanya.

Mengenai pembangunan KLIA 2, beliau berkata projek itu sudah siap 70 peratus dengan jumlah kos masih kekal pada RM4 bilion.

"Kami yakin menyiapkan lapangan terbang ini mengikut jadual, yang disokong oleh kemajuan lancar pelaksanaan oleh kontraktor utama," katanya.

Sementara itu, beliau berkata jambatan udara pertama di Asia dan ketiga di dunia, bernilai RM150 juta dijangka siap menjelang akhir Januari depan.

"Jambatan udara yang seluas 300 meter dengan walklator seluas 60 meter, ia akan disambungkan dengan bangunan terminal penumpang ke bangunan satelit yang membolehkan penumpang berjalan antara dua tempat hanya dalam lima minit."

"Jambatan udara yang dibangunkan khusus untuk menyeberang tempat letak pesawat, dan berdinding kaca, membolehkan penumpang menikmati pemandangan menarik di luar." - BERNAMA

Artikel Lain