suria

Jurujual Tiket Bas Didakwa Cederakan Penyambut Tetamu Hotel

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual tiket bas sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Jumaat terhadap pertuduhan mencederakan seorang penyambut tetamu hotel, September lepas.

Rusdian Syah Abdul Karim, 19, didakwa dengan sengaja menolak dan menyepak rahang kiri V.Aravinhidan, 26, yang menyebabkan kecederaan selain patah tulang betis kaki kanan akibat terkena besi penghadang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tangga tingkat 1, Perhentian Bas Pudu Sentral, Jalan Pudu di sini pada 11 pagi, 29 Sept lepas dan didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Majistret Suzarika Sahak membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 November untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA

Artikel Lain