suria

Dua Rakyat Malaysia Masih Tunggu Keputusan Tribunal Tentera

KUALA LUMPUR: Dua rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Lubnan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda kini menunggu keputusan Tribunal Tentera di Beirut.

Razif Mohamad Ariffin, 28, dan Mohamad Razin Shahar Mustapha Kamal, 21, dihadapkan ke Tribunal Tentera itu pada Isnin lepas dan Rabu (semalam) atas tuduhan menjadi anggota pengganas yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Razif dan Mohamad Razin, yang diwakili empat peguam dalam perbicaraan pada Rabu, dilaporkan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Ilango Karuppannan berkata tiga hakim tribunal itu sedang meneliti kes tersebut sebelum membuat keputusan.

"Keputusan tidak akan diumumkan dalam tempoh segera, ia mengambil masa. Kita kena tunggu," katanya kepada Bernama dari Beirut.

Sementara menunggu keputusan itu, dua rakyat Malaysia itu kini ditahan di Pusat Tahanan Tentera di Beirut.

Ilango berkata, keputusan tribunal itu penting kerana ia menentukan sama ada kes kedua-dua rakyat Malaysia itu akan dibawa ke mahkamah biasa di ibu negara Lubnan atau tidak.

"Jika kes itu tidak mempunyai bukti yang kukuh kedua-dua mereka dibebaskan manakala jika hakim mendapati kes itu mempunyai asas yang kuat, maka ianya akan dibicarakan di mahkamah biasa dan itulah fungsi Tribunal Tentera untuk meneliti kes sebegini," katanya.

Pada 18 Oktober lepas, Razif dan Mohamad Razin Shahar ditahan oleh pihak Lubnan kerana disyaki dilatih menjadi pengebom berani mati dan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Ilango berkata anggota keluarga dan pihak kedutaan juga masih menunggu laporan daripada peguam untuk memaklumkan sebarang perkembangan terkini terhadap kes itu.

Katanya, anggota keluarga kedua-dua rakyat Malaysia itu yang berada di Lubnan sejak Ahad lalu sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan mereka sedia menunggu.

"Tinjauan kami mendapati dua rakyat kita berada dalam keadaan baik dan sihat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain