suria

Bukit Aman Cadang Temu Bual Rakyat Malaysia Ditahan Di Beirut

KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merancang menghantar pasukan khas ke Beirut bagi menemu bual dua rakyat Malaysia, yang ditahan pihak berkuasa Lubnan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

"Kita sudahpun buat persiapan sewajarnya. Kita sedang menunggu respons daripada rakan kita (Kedutaan Malaysia di Lubnan untuk urusan itu)," kata Pengarah Petugas Khas (Operasi dan Counter Terrorism) Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Harun.

Razif Mohamad Ariffin, 28, dan Mohamad Razin Shahar Mustapha Kamal, 21, dihadapkan ke Tribunal Tentera di Beirut pada Isnin dan Rabu atas tuduhan menjadi anggota pengganas yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda. Razif dan Mohamad Razin dilaporkan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu. Mereka kini ditahan di Pusat Tahanan Tentera di Beirut sementara menunggu keputusan tribunal itu.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis tinjauan mesra kepolisan berprofil tinggi di Masjid India, Dang Wangi di sini hari ini, Mohamad Fuzi berkata semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu penahanan dua rakyat negara ini kerana ia tidak memberi ancaman yang serius.

"Kita tidak ada masalah sebenarnya dari segi keselamatan mahupun ancaman pengganas dan kita anggap kes ini sebagai terpencil," katanya.

Katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berusaha untuk tidak membenarkan mana-mana pengganas menjadikan negara ini sebagai transit mahupun dijadikan transit bekalan untuk ke negara ketiga.

Beliau juga berkata polis turut memantau laman web yang berkaitan dengan pergerakan militan kerana ia dijadikan medium bagi merekrut individu serta menanam ideologi militan.

"Kita ada sejumlah besar laman web yang operatornya di luar negara tetapi menggunakan alamat di Malaysia. Tetapi kita telah ambil tindakan sewajarnya, selain memantau dan menutup laman-laman web terbabit dengan militan," katanya.

Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Ilango Karuppannan hari ini mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Keselamatan Awam Lubnan untuk mendapat maklumat terkini terhadap dua rakyat negara ini serta mendapatkan kebenaran bagi PDRM datang ke Lubnan untuk bertemu dengan mereka. -BERNAMA

Artikel Lain