suria

Pemimpin BN Perlu Bijak Manfaat ICT Perjelas Isu

PUTRAJAYA: Para pemimpin Barisan Nasional (BN) terutamanya di peringkat akar umbi mestilah bijak memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memberi penjelasan mengenai sesuatu dasar dan isu, kata Naib Pengerusi Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie.

Beliau berkata BN perlu melipatgandakan usaha untuk menguasai bidang ICT khususnya teknologi media baru bagi menghadapi peperangan maya dan serangan pembangkang, yang melibatkan isu-isu berbangkit dan fakta diputar belit.

"Politik hari ini adalah satu peperangan yang berasaskan kepada persepsi rakyat dan di zaman teknologi yang banyak menggunakan kemudahan ICT, siapa yang mahir menggunakan saluran ICT akan mempunyai kelebihan untuk mempengaruhi minda pengguna Internet yang majoritinya golongan muda dan remaja," katanya kepada Bernama.

Heng berkata pemimpin BN perlu segera bertindak memberi penjelasan tentang dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan dan menjawab isu-isu serta memperbetulkan fakta bagi mengelak minda rakyat terus terpesong.

Jika dibiarkan, ia akan memberi kelebihan kepada pembangkang untuk meracuni dan memesongkan pemikiran rakyat berhubung sesuatu isu, katanya.

Heng, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, memberi contoh tentang bagaimana dasar kerajaan yang baik demi kepentingan rakyat diputar belit pembangkang, sehingga akhirnya rakyat tidak memahami dan menghargai usaha yang dilakukan kerajaan.

"Contohnya, program perintis Taska Orang Kurang Upaya (OKU), kerajaan sebelum ini dikatakan tidak prihatin terhadap golongan OKU dan apabila kerajaan mengumumkan tentang projek ini menerusi Belanjawan 2013 baru-baru ini kumpulan yang sama mempertikaikannya," kata beliau.

Katanya terdapat pihak, yang dahulunya mendakwa kerajaan tidak prihatin terhadap OKU, kini mengkritik program Taska OKU dan menganggap usaha itu tidak inklusif, kononnya kerajaan mengasingkan kanak-kanak OKU dan kanak-kanak normal dari taska yang ada sebelum ini.

Heng turut mengingatkan pihak media agar melaporkan sesuatu isu dengan benar dan tepat serta berpegang kepada kod etika kewartawanan tanpa perlu menokok tambah atau menulis berdasarkan persepsi mereka.

"Kita tidak meminta mana-mana pihak untuk memberikan laporan yang memihak kepada kita (kerajaan) tetapi kita minta biarlah segala yang dilaporkan itu dilakukan secara objektif dan adil," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain