suria

Laman Web Pengganas Di Malaysia: Tidak Semestinya Rakyat Malaysia Terlibat

Azli Paat
Azli Paat
Azli Paat

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak panik dan melatah dengan laman web pengganas yang dikatakan dikendalikan di Malaysia.

Penganalisa internet dan pengamal ICT, Azli Paat berkata, walaupun laman web tersebut dikendalikan 'server' di Malaysia, ia tidak semestinya melibatkan rakyat Malaysia.

"Ada banyak kemungkinan. Mungkin betul rakyat Malaysia terlibat dan mungkin juga bukan rakyat Malaysia.

"Walaupun pelayannya (server) dikenal pasti di Malaysia, boleh jadi mereka yang terlibat berada di luar Malaysia dan bukan rakyat Malaysia," katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Azli berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laman web pengganas terbesar al-Qaeda Tawhed.net yang dikatakan didaftar dan dikendalikan di Kuala Lumpur.

Pada Rabu, akhbar The Star melaporkan bahawa laman web rasmi al-Qaeda, Tawhed.net telah didaftarkan di Kuala Lumpur dan bukan menjadi laman web pertama dibuat di Malaysia.

Laman web pengganas yang dikatakan terbesar di dunia itu bagaimanapun telah ditutup pada pukul 4 petang Rabu selepas 'The Star' melayari laman tersebut dan dikesan oleh mereka.

Menurut Azli, menjadi perkara biasa apabila status sesebuah laman web menimbulkan keraguan terutama yang melibatkan jenayah dan keganasan.

Ini kerana, butir-butir individu, syarikat atau organisasi seperti nama dan alamat yang diberikan ketika membuat pendaftaran laman web jenis ini biasanya tidak diperiksa oleh pendaftar.

Sebagai contoh, laman web jenis ini akan diakhiri dengan '.com', '.net', '.info', '.edu', '.gov.' dan banyak lagi.

"Pendaftaran untuk 'domain' ini melibatkan pihak pendaftar di Amerika Syarikat (AS). Sesiapa sahaja boleh mendaftar dengan mudah kerana kerakyatan, status syarikat atau identiti sebenar pendaftar tidak diperiksa yang mana segala butir-butir seperti nama dan alamat boleh dipalsukan.

"Ada yang memberikan (butir) yang betul. Tetapi dalam konteks pengganas atau mereka yang berniat jahat, sudah tentu butiran palsu atau yang direka diberi untuk mengelak diri dan aktiviti dikesan," beliau memberi pendapat.

Azli yang juga presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih Malaysia berkata, ini berbeza dengan mana-mana syarikat atau organisasi di Malaysia yang sah dan mendaftar untuk laman web mereka di negara ini.

"Mereka akan diberi 'domain' dengan penghujung '.my' (Malaysia). Begitu juga di Singapura yang diakhiri dengan '.sg', Indonesia '.ind' atau India '.in'.

"Agak sukar bagi mana-mana pihak yang berniat tidak baik mendaftar untuk mendapatkan domain ini kerana ia memerlukan dokumen tertentu yang sah," jelasnya.

Mengulas lanjut, Azli berkata pembekal rangkaian tempatan untuk laman web tersebut boleh mengenal pasti dari mana data atau maklumat dimuat naik ke dalam laman web tersebut dibuat.

"'Server' berada di Malaysia. Siasatan terperinci dan kajian perlu dibuat untuk mengesan lokasi muat naik di laman web dan memastikan jika ia melibatkan rakyat Malaysia.

"Selagi boleh dibuktikan rakyat Malaysia terlibat dengannya, kita tidak harus bimbang kerana dunia hari ini adalah dunia tanpa sempadan," katanya.

Sementara itu pakar keganasan memberitahu strategi al-Qaeda yang akan bertapak di sesebuah negara dan berpindah selepas pergerakan mereka dikesan.

Laman web lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas seperti www.ansar.info dan www.al-qimmah.net tetapi dikendalikan di luar negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain