suria

Ketua Pembangkang DUN P.Pinang Azhar Ibrahim Digantung Dari Dewan Untuk Kali Yang Kedua

GEORGE TOWN: Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim telah digantung perkhidmatan selama enam bulan oleh dewan berkenaan berkuatkuasa Khamis.

Ini adalah tindakan penggantungan kali kedua yang dikenakan ke atas beliau.

Tindakan pertama ialah antara 17 Ogos 2010 hingga 15 Februari 2011.

Penggantungan kali ini bermakna Azhar tidak akan kembali lagi ke Dewan Undangan Negeri sehingga perkhidmatannya sebagai wakil rakyat berakhir tahun hadapan.

Sebelum ini Azhar telah mengumumkan bahawa beliau berhasrat untuk bersara dari politik sepenuh masa dan tidak akan bertanding lagi dalam pilihan raya umum akan datang.

Penggal Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang akan berakhir April tahun depan - sama dengan Dewan Rakyat. Azhar, 66, adalah wakil rakyat kerusi Penaga di dalam kawasan Parlimen Kepala Batas.

Usul untuk menggantung perkhidmatannya sebagai ahli dewan telah dibentang oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan disokong oleh majoriti ahli dewan kecuali 11 anggota pembangkang dari Barisan Nasional (BN).

Wakil-wakil rakyat BN memprotes tindakan tersebut dengan keluar dewan pada jam 3.40 petang. Mereka kemudiannya kembali tanpa Azhar.

Kini jawatan ketua pembangkang akan diambil alih oleh Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (BN - Teluk Bahang).

Hilmi adalah bekas timbalan ketua menteri dalam pentadbiran kerajaan negeri yang lalu.

Dalam sidang dewan pada Khamis, Guan Eng telah diminta Azhar menarik balik kenyataannya yang mengatakan dokumen di dalam dewan boleh dimanipulasikan.

Guan Eng berkata, beliau secara ikhlas bersedia menarik balik usul penggantungan itu seandainya Azhar bersedia menarik semula kenyataannya, memohon maaf kepada dewan dan anggota-anggota serta kakitangan dewan dan speaker Datuk Abdul Halim Hussain.

“Dakwaan YB Azhar tentang manipulasi itu adalah tidak adil kepada mereka yang telah melaksanakan tugas di dalam dewan ini.

“Terdapat rakaman video yang menunjukkan YB berkata demikian. Adakah YB bersedia untuk mengakuinya dan menarik balik dakwaan tersebut?,” tanya Guan Eng.

Azhar berkata, rakaman audio dan video itu bukanlah bukti sepenuhnya dan boleh diubah.

Malah beliau berhujah kandungan kata-katanya yang dituduh membuat dakwaan itu bukanlah dokumen rasmi sepertimana hansard.

Dalam sidang akhbar kemudian, Azhar menegaskan matlamat penggantungan tugasnya di dewan adalah bertujuan untuk menutup mulutnya daripada mengkritik kerajaan negeri khususnya dalam soal bajet negeri itu.

“Kenapa mahu menutup mulut saya? Ini adalah untuk memberitahu rakyat Pulau Pinang bahawa ‘saya adalah King Lim Guan Eng’. Jika kamu tidak ikut apa saya kata saya akan ambil tindakan,” kata Azhar.

Tentang sama ada beliau akan kembali bertanding dalam pilihan raya akan datang, Azhar berkata, majoriti pengundi di kawasannya mahukan dia meneruskan perkhidmatan lagi “tetapi jika perdana menteri kata saya harus berhenti saya akan berhenti.”

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain