suria

Jawatankuasa Pusat Dibentuk Pantau Penguatkuasaan Aktiviti Ambil Pasir Sungai

PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Sumber Air Negara ke-7 (MSAN) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini bersetuju mewujudkan satu jawatankuasa bagi memantapkan lagi mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan aktiviti pengambilan pasir sungai terutama sungai-sungai yang terlibat dalam rancangan tebatan banjir (RTB).

Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, keputusan itu diambil berikutan kerajaan persekutuan terpaksa membelanjakan sejumlah besar peruntukan bagi membaik pulih morfologi sungai yang rosak akibat aktiviti pengambilan pasir sungai.

"Pemantauan dan penguatkuasaan yang kurang berkesan terhadap aktiviti pengambilan pasir sungai boleh memberi kesan yang negatif ke atas sungai tersebut. Selain menjejaskan kualiti air sungai, pengambilan pasir yang melebihi had boleh menyebabkan dasar sungai menurun dan seterusnya menyebabkan keadaan tidak stabil dan mengancam struktur awam seperti jambatan, rumah pam dan muka sauk.

"Aktiviti pengambilan pasir yang tidak mematuhi syarat teknikal yang ditetapkan juga boleh merosakkan morfologi sungai. Ini akan turut menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek RTB dan meningkatkan bebanan kos pelaksanaan program RTB," jelas kenyataan itu.

Turut hadir dalam mesyuarat yang diadakan di Bangunan Perdana Putra di sini ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, menteri-menteri persekutuan, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Mesyuarat itu juga menyentuh mengenai "Pemakaian Pelan Strategik Pengurusan Lestari Tasik Dan Empangan Air Di Malaysia", yang memaklumkan status dan masalah eutrofikasi iaitu sejenis pencemaran yang berlaku bagi 90 tasik dan empangan air yang terpilih di negara ini hasil kajian Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

Pelan Strategik yang dicadang untuk dilaksanakan di peringkat nasional dan negeri itu bagi memastikan pengurusan tasik secara bersepadu dapat dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak, sekaligus menjamin kualiti air tasik dan empangan dapat dipelihara atau dipertingkatkan, memandangkan ia merupakan sumber air alternatif yang boleh dieksploitasi untuk memenuhi permintaan air pada masa depan.

"Semua kerajaan negeri mengambil maklum akan status dan masalah eutrofikasi bagi tasik dan empangan air yang tersenarai dalam kajian yang dijalankan oleh NAHRIM.

Maklum balas terhadap cadangan pemakaian Pelan Strategik Pengurusan Lestari Tasik dan Empangan Air akan dikemukakan kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada masa terdekat," menurut kenyataan itu.

Selain itu, tujuh kertas makluman turut dibentangkan dalam mesyuarat tersebut termasuk Kerjasama Dan Komitmen Kerajaan Negeri Dengan Kerajaan Persekutuan Dalam Menangani Isu-Isu Banjir, Public Infobanjir Sebagai Media Penyebaran Maklumat Amaran Awal Banjir Kepada Orang Awam, Pemakaian Manual Saliran Mesra Alam Edisi Kedua Ke Arah Pembangunan Sistem Saliran Lestari dan Penggunaan 'Stormwater' Di Hiliran Lembangan Sungai Sebagai Sumber Bekalan Air Terawat.

Kertas makluman lain yang dibentangkan adalah Penggunaan Larutan Garam (Elektro-Klorinasi) Sebagai Alternatif Kepada Gas Klorin Dalam Rawatan Air Minum, Prestasi Pemegang Lesen Yang Telah Berhijrah Ke Rejim Pelesenan dan Kajian Kawasan Berpotensi Sumber Bekalan Air Bawah Tanah Menggunakan Imej Satelit Remote Sensing Dan Maklumat Geografi Di Kawasan Lembangan Sungai Muar, menurut kenyataan itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain