suria

Bersih 3.0: Mahkamah Dengar Bantahan Dakwaan Pada 7 Nov

KUALA LUMPUR: Mahkamah menetapkan sesi pendengaran pada 7 November ini mengenai bantahan awal pendakwaan terhadap rayuan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan tuduhan terhadapnya kerana didakwa melanggar perintah mahkamah dengan mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih 3.0.

Anwar membuat permohonan itu kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Mahmud Abdullah untuk meneliti semula arahan majistret Zaki Asyrar Zubir pada 26 April yang melarang orang ramai berkumpul di kawasan sekitar Dataran Merdeka bagi perhimpunan pada 28 April itu.

Ia merupakan salah satu daripada tiga permohonan yang dibuat oleh pemimpin pembangkang menerusi peguam Ramkarpal Singih untuk membatalkan tuduhan terhadapnya.

Turut didakwa bersama Anwar di bawah Akta Perhimpunan Aman (PPT) adalah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Ketua PKR Bahagian Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

Anwar mendakwa tuduhan di bawah PPT itu tidak selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan setiap warganegara mempunyai hak terhadap kebebasan bercakap dan bersuara.

Ramkarpal berkata, Mahkamah Tinggi menetapkan 23 November untuk mendengar permohonan mereka yang mencabar perlembagaan PPT mengenai hal undang-undang.

“Kami memerlukan lebih banyak masa untuk mendapatkan arahan sama ada untuk menarik balik permohonan kedua ke Mahkamah Sesyen,” katanya kepada Mahkamah pada Rabu.

Peguam Azmin iaitu Gurcharan Singh berkata, beliau akan menarik balik permohonan yang sama dan memfailkan semula kepada Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan tidak membantah mana-mana penarikan balik itu.

Sementara itu, peguam Badrul, K Murali Dharan berkata, Mahkamah Tinggi menetapkan 12 Disember untuk mendengar permohonan Badrul.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain