suria

Bank Rakyat Untung RM1.62 Bilion Dalam Tempoh 9 Bulan Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) mencatatkan prestasi memberangsangkan bagi sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2012 dengan meraih keuntungan sebelum cukai dan zakat RM1.62 bilion.

Jumlah itu menyaksikan peningkatan 8.1 peratus berbanding RM1.5 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, bank itu turut merekodkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM1.33 bilion berbanding RM1.20 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 10.5 peratus.

"Dari segi prestasi kewangan, Bank Rakyat terus mencatatkan perkembangan positif dengan peningkatan keuntungan sebelum cukai, keuntungan bersih dan pendapatan kasarnya iaitu RM30.9 bilion sehingga 31 September tahun ini.

"Dengan prestasi kewangan yang memberangsangkan dan pengiktirafan yang diterima seperti Anugerah Bank Islam Paling Menguntungkan dan Anugerah Perbankan Runcit Islam Paling Cemerlang, Bank Rakyat diharap terus menjadi perbankan Islam terbesar di Malaysia dan ke-12 terbaik di dunia," katanya selepas Majlis Penyerahan 20 Buah Van Jenazah dan dua Buah Van Pengangkutan di sini Khamis.

Pada majlis itu, 20 buah van jenazah disumbangkan kepada masjid di Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan, Johor, Negeri Sembilan dan Perak , manakala dua buah van pengangkutan diserahkan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Mersing, Johor dan Sekolah Menengah Agama Al-Ittifaqiyah, Pahang, yang keseluruhannya bernilai lebih RM1.7 juta.

Bagi tahun ini, 41 van jenazah yang keseluruhannya bernilai RM3.2 juta akan disumbangkan Bank Rakyat ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Ismail Sabri berkata, sebagai sebuah bank koperasi terbesar yang berjaya melaksanakan aktiviti perbankan syariahnya, bank itu terus komited melaksanakan tanggung jawab sosial korporatnya dengan memperuntukkan zakat perniagaan bagi membantu masyarakat yang memerlukan.

"Bagi 2011, lebih RM40.6 juta zakat perniagaan telah diperuntukkan Bank Rakyat, yang disalurkan melalui Majlis Agama Islam di seluruh negara bagi memenuhi keperluan golongan Asnaf," katanya.

Bank Rakyat yang ditubuhkan sejak Sept 1954 kini mempunyai 136 cawangan dengan lebih 600 mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) serta 46 Ar-Rahnu X' Change di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain