suria

Tiga Lelaki Ditahan, Dadah Bernilai RM200,000 Dirampas

IPOH: Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di negeri ini dengan penahanan tiga lelaki serta merampas dadah jenis syabu seberat 1.019 kilogram bernilai RM200,000 dalam serbuan di sebuah taman perumahan di Sungai Siput, pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, tiga lelaki itu ditahan pada pukul 2.25 petang oleh polis yang menyamar sebagai pembeli ketika mereka sedang menunggu pelanggan untuk menjual dadah itu.

"Polis menemui dadah berkenaan yang disorok di dalam but kereta jenis Proton Wira yang dinaiki suspek," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berumur antara 24 dan 35 tahun itu berasal dari Acheh, Indonesia.

Dua daripada mereka masing-masing bekerja sebagai pekerja kontrak dan kimpalan di Selangor manakala seorang lagi bekerja sebagai pembantu kedai runcit di Kuala Lumpur.

Zakaria berkata, hasil siasatan mendapati kereta jenis Proton Wira terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama lapan hari bermula Rabu bagi membantu siasatan dan mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Ini merupakan kejayaan terbesar polis melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah di negeri ini sepanjang 10 bulan ini dan sepanjang tempoh itu sebanyak RM2.303 juta nilai dadah telah dirampas di negeri ini," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zakaria berkata, seorang lelaki ditemui mati terjatuh dari tingkat empat sebuah rumah pangsa di Lapangan Perdana di sini, manakala seorang lagi ditemui menyorok di siling rumah itu dipercayai cuba melarikan diri daripada serbuan polis, awal pagi Rabu.

"Anggota polis telah pergi ke rumah lelaki terbabit pada pukul 1.45 pagi atas maklumat kes samun dan mendapati dua lelaki terbabit cuba melarikan diri dengan menyorok di atas siling rumah itu," katanya.

Beliau berkata, seorang daripada lelaki itu ditemui maut terjatuh dari rumah pangsa itu pukul 2.20 pagi.

Zakaria berkata, polis menemui sepucuk pistol mainan, gari, sebilah parang, satu pas keselamatan mempunyai logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua televisyen, pemain DVD, decoder Astro dan set radio kereta dalam rumah itu.

"Hasil siasatan mendapati mangsa yang meninggal dunia berusia 28 tahun dan merupakan suspek yang diburu polis kerana mempunyai empat rekod jenayah. Seorang lagi suspek berusia 20 tahun ditahan kerana terbabit dalam kegiatan samun," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain