suria

Taufan Sandy: Tiga Senator Terkandas Di New York

NEW YORK: Tiga senator yang sepatutnya pulang ke tanah air selepas menghadiri Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terkandas selepas penerbangan mereka dibatalkan akibat taufan Sandy.

Mereka ialah Datuk Boon Som Inong, Datuk Muhammed Najeeb Abdulah dan A.P.S. Bagiam yang tiba di kota raya ini, 17 Oktober lalu.

Boon semasa dihubungi Bernama berkata kesemua mereka dijadualkan berlepas pulang dengan penerbangan Emirates Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Keneddy pada 11.20 pagi, Isnin lepas.

"Kami dihubungi melalui e-mel oleh ejen syarikat penerbangan, yang memaklumkan bahawa penerbangan kami itu ditangguh kerana semua penerbangan keluar dan masuk ke New York City dibatalkan pada hari Ahad, dan sehingga kini mereka tidak dapat memastikan bila penerbangan kami yang seterusnya," katanya yang berada di sini bersama isteri beliau.

Bagaimanapun beliau berkata Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke PBB, juga sedang berusaha menghubungi ejen syarikat penerbangan berkenaan untuk membolehkan kesemua mereka mendapat penerbangan paling awal berlepas pulang sebaik sahaja keadaan kembali pulih.

Kota raya New York, hampir tenggelam dan bergelap selepas dibadai taufan Sandy, semalam. Kesemua penerbangan keluar dan masuk di kedua-dua lapangan terbangnya dibatalkan manakala lapangan terbangnya ditutup selepas dinaiki air akibat banjir.

Sementara itu, Muhammed Najeeb berkata lawatan ke New York merupakan yang pertama baginya dan juga pengalaman pertama menghadapi taufan.

"Kami tidak pergi ke mana-mana, sebaliknya hanya duduk di dalam bilik, petang tadi kami keluar untuk mencari makanan halal yang selalunya terdapat di tepi-tepi jalan, tetapi malangnya semuanya tidak beroperasi," kata beliau semasa dihubungi di bilik penginapan hotelnya yang terletak di 44th street di tengah-tengah Pulau Manhattan.

Beliau berkata selama dua hari tidak boleh keluar ke mana-mana, televisyen menjadi peneman dan sempat belajar daripada pihak berkuasa bandar raya New York, mengenai cara-cara menangani keadaan kecemasan yang berlaku.

"Kami berlepas ke Washington DC pada hari Jumaat lepas dan dijangka pulang semula ke New York pada 8 malam Ahad, dan seterus bersiap untuk berlepas pulang, bagaimanapun, rombongan kami terpaksa memendekkan lawatan dan pulang awal kerana tidak mahu bertembung dengan Sandy," katanya.

Sementara itu, rakyat Malaysia yang tinggal di pantai timur Amerika Syarikat, berhubung sesama rakan mereka sama ada melalui pesanan ringkas, panggilan telefon atau laman Facebook bertanya khabar masing-masing.

Bagi Nur Yasmin Mohd Nuri, dari Boston, Massachusetts, beliau menerima banyak khidmat pesanan ringkas, panggilan telefon dan turut menghubungi rakan-rakan yang terlibat bertanya khabar.

Selain itu, katanya kesempatan cuti disebabkan taufan Sandy digunakan untuk mengemas dan membersih kawasan sekitar rumahnya yang dipenuhi daun-daun pokok dan sampah yang dibawa angin kuat taufan itu.

Ada juga yang keluar di sekitar kawasan perumahan mereka meninjau keadaan sekeliling selepas dibadai taufan itu.

Laman facebook kumpulan seperti Malaysian in US dan Malaysian in NYC dipenuhi dengan pertanyaan khabar daripada anggotanya, masing-masing bertanya khabar rakan-rakan selain menceritakan pengalaman mereka berdepan dengan taufan Sandy.

Ada yang mengeluh kerana tidak dapat ke pejabat kerana sistem pengangkutan transit dalam bandar raya dan kawasan pinggir seperti kereta api dan bas kebanyakannya belum beroperasi sepenuhnya.

Bagi Zarina Mustapha, yang tinggal di Astoria, Queens, dan bekerja di Columbia University, di bahagian barat, utara Pulau Manhattan (upper westside) beliau kini sedang memikirkan bagaimana cara terbaik baginya untuk pergi ke pejabatnya yang akan beroperasi esok, selepas ditutup sejak Isnin.

"Orang seperti saya yang bergantung kepada sistem pengangkutan awam terutamanya kereta api, terpaksa memikirkan cara ke pejabat kerana tidak ada perkhidmatan kereta api yang akan beroperasi," katanya semasa dihubungi.

Sistem pengangkutan transit dalam bandar raya dan kawasan pinggir yang dihentikan sejak petang Ahad lepas, sudah mula beroperasi, dengan perkhidmatan yang amat terhad.

Bagi seorang lagi rakyat Malaysia yang tinggal di Fort Lee, New Jersey, Haslinda Hashim, rumahnya terputus bekalan elektrik sejak semalam dan dimaklumkan oleh syarikat kendaliannya, ia dijangka berterusan selama 2 minggu.

Beliau yang bimbang stok makanan sejuknya akan rosak bercadang untuk mengagihkan kepada rakan-rakannya yang tinggal berdekatan dengan rumahnya kerana jalan raya dan jambatan yang menghubungkan New Jersey dan Manhattan semuanya masih ditutup.

PBB dan New York Stock Exchange, yang ditutup sejak Isnin, turut mengumumkan menyambung penutupan badan dunia itu dan operasi dagangan bursa saham berkenaan sehingga Rabu.

Sementara itu Pejabat Pengurusan Kecemasan Datuk Bandar dan Jabatan Polis New York (NYPD) untuk pertama kali dalam sejarah 39 tahun, telah membatalkan Perarakan Halloween terbesar yang dijadual diadakan pada malam Rabu di Manhattan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain