suria

Penuntut IPT Diingat Jauhi Kumpulan Pengganas

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi meminta semua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) supaya berfikir secara matang dan tidak sesekali terjebak dengan kumpulan pengganas yang boleh menghancurkan masa depan mereka dan harapan menggunung keluarga.

Beliau berkata, kumpulan pengganas seperti al-Qaeda akan cuba merekrut seramai mungkin penyokong baru pada setiap masa tanpa mengira pelajar atau tidak.

"Saya tidak menafikan ada pelajar terpengaruh dengan mereka tetapi kita tidak tahu berapa ramai yang terpengaruh dan berapa yang tidak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Portal Ready4Work' di Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, Rabu.

Beliau mengulas isu penahanan dua rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Lubnan pada 18 Oktober lepas kerana disyaki terbabit dengan al-Qaeda, yang membawa kepada kebimbangan ada penuntut IPT tempatan mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas.

Mohd Khaled berkata, pihaknya memandang serius sebarang pembabitan penuntut dalam aktiviti militan memandangkan ia melibatkan soal keselamatan negara.

"Saya difahamkan seorang yang ditahan itu adalah bekas pelajar IPT namun belum ada pengesahan sama ada dia direkrut ketika belajar," kata Mohd Khaled.

Sambil menegaskan ia bukannya salah sistem pengajian tinggi atau kerajaan, menteri itu berkata dunia kini bersifat terlalu terbuka dan segala maklumat dapat diakses dengan mudah.

"Justeru, tidak mungkin kami dapat mengesan sekiranya ada pelajar yang terpengaruh dan kami harapkan kerjasama polis supaya kami tahu sesuatu yang terdapat di universiti dan selepas itu baru kami boleh bertindak," katanya.

Sementara itu, Mohd Khaled berkata, beliau dimaklumkan pihak Kementerian Luar bahawa penuntut Malaysia di kawasan yang terjejas akibat Taufan Sandy di Amerika Syarikat, berada dalam keadaan selamat.

"Hubungan saya dengan pelajar (sebelum ini) dilakukan secara langsung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi tidak dapat berbuat demikian buat masa ini. Saya sentiasa berhubung dengan Wisma Putra untuk mengetahui keadaan mereka," katanya.

Mengulas isu lain, Mohd Khaled berkata, kementerian sering mendapat aduan daripada pihak industri bahawa kualiti graduan yang dilahirkan IPT tidak memenuhi jangkaan mereka.

Beliau berkata, pihak syarikat tidak harus terus menyalahkan IPT atau penuntut tetapi perlu bersama mencari langkah menangani perkara itu ke arah melahirkan graduan berkualiti.

Portal4Work dibangunkan sebagai pusat sehenti bagi membantu menangani kelemahan yang dihadapi golongan siswazah terutama semasa proses temuduga, sekali gus menangani jurang kemahiran tenaga kerja selain menghubungkan mereka dengan majikan sesuai.

Ia menyediakan panduan persediaan temuduga kepada kira-kira 500,000 penuntut dan graduan di 20 IPTA seperti siri bantuan pengguna dalam mengenal pasti kelemahan teknik temuduga dan bagaimana menanganinya berdasarkan perspektif majikan.

Portal yang dibangunkan secara kerjasama antara Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) dan UTM itu boleh dilayari di www.ready4work.my. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain