suria

Militan: Rakyat Malaysia Diwakili Empat Peguam Tribunal Tentera

KUALA LUMPUR: Dua rakyat Malaysia yang ditahan di Lubnan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Al-Qaeda akan diwakili empat peguam dalam sebutan semula kes di Tribunal Tentera di Beirut, pada Rabu.

Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Ilango Karuppannan berkata Razif Mohamad Ariffin, 28, dan Mohamad Razin Shahar Mustapha Kamal, 21, akan diwakili empat peguam dari sebuah firma guaman selepas mendapat persetujuan daripada keluarga mereka.

"Kedua-dua keluarga tertuduh telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan mereka telah bersetuju untuk membiayai kos guaman masing-masing. Kami hanya mencadangkan firma guaman yang terbaik sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama di Beirut pada Selasa.

Razif dan Mohamad Razin Shahar telah dihadapkan ke Tribunal Tentera semalam tetapi hakim memerintahkan mereka mendapatkan khidmat peguam sebelum pertuduhan diteruskan.

Minggu lepas, pihak berkuasa Lubnan menahan kedua-dua lelaki itu di sebuah hotel di Beirut kerana dipercayai dilatih menjadi pengebom berani mati dan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Dalam pada itu, Ilango berkata Mohamad Ariffin Abdullah tiba di Beirut Ahad lepas dan telah melawat Razif di pusat tahanan tentera di bandar raya itu semalam.

Beliau berkata pihak kedutaan belum dimaklumkan secara terperinci berhubung pertuduhan terhadap Razif dan Mohamad Razin Shahar esok. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain