suria

Kedutaan Malaysia Di AS Gerak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam

KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Amerika Syarikat menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam bagi memantau perkembangan Taufan Sandy dan kesannya kepada rakyat Malaysia di kawasan terjejas.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata terdapat kira-kira 1,500 rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas akibat taufan itu iaitu Washington, Maryland dan Virginia.

"Kira-kira 1,200 pelajar juga berada di kawasan terjejas. Jabatan Pelajar (kedutaan) telah berhubung dengan Pejabat Pelajar Antarabangsa di universiti-universiti di kawasan itu untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan keselamatan pelajar kita.

"Kedutaan Besar Malaysia di Washington dan Konsulat Jeneral Malaysia di New York melaporkan tidak menerima apa-apa laporan rakyat Malaysia dalam bahaya," katanya dalam satu kenyataan malam Selasa.

Beliau berkata hanya satu keluarga Malaysia terkandas di Lapangan Terbang LaGuardia dan mereka kini ditempatkan di sebuah hotel di Queens.

"Semua rakyat Malaysia yang lain, termasuk pelajar, adalah selamat," katanya.

Anifah berkata Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC ditutup pada Isnin lepas ekoran pengisytiharan keadaan kecemasan di Washington.

"Semua warganegara Malaysia telah dinasihatkan untuk menjaga keselamatan diri dan sentiasa berwaspada terhadap amaran taufan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Wisma Putra akan terus memantau perkembangan taufan tersebut dan memaklumkan sebarang perkembangan terkini," katanya.

Laporan awal menunjukkan negeri yang terjejas seperti Virginia, Washington, Maryland, New Jersey, Connecticut dan New York telah mengisytiharkan darurat serta memulakan proses pemindahan termasuk 375,000 penduduk di Manhattan dan bahagian lain di New York City; 50,000 di Delaware dan 30,000 di Atlantic City, New Jersey.

Lebih 5,000 penerbangan di semua lapangan terbang utama (Dulles International dan Ronald Reagan National) di Washington dialih ke lapangan terbang lain.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 65 orang terbunuh di Kepulauan Caribbean disebabkan taufan tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain