suria

Selangor Didakwa Guna Peruntukan Penyelenggaraan Jalan Raya Untuk Tujuan Lain

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor didakwa menggunakan peruntukan penyelenggaraan tahunan jalan raya yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan melalui geran Sistem Maklumat Rekod Jalan raya Malaysia (Marris) bagi memperbaiki dan meningkatkan kualiti jalan raya di negeri tersebut untuk tujuan lain.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan berkata, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan baru-baru ini, kerajaan Pakatan Rakyat hanya menggunakan 58 peratus daripada peruntukan tersebut dan selebihnya telah diberikan kepada Universiti Selangor (Unisel) untuk tujuan pembangunan.

"Kerajaan Selangor hanya pakai 58 peratus daripada peruntukan kerajaan pusat untuk kerja-kerja menyelenggara jalan. Mana pergi lagi 42 peratus yang harus diguna?

"Saya juga dapat maklumat, melalui laporan audit ini, RM5.1 juta peruntukan Marris dikeluarkan dan diguna untuk diberi pada satu syarikat di bawah anak syarikat Selangor untuk membiayai projek pembinaan Unisel," katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada Selasa.

Kamalanathan mendakwa sehingga hari ini, beberapa puluh jalan raya yang tidak diperbaiki oleh kerajaan negeri dan apabila rakyat meminta kepada Majlis Daerah Hulu Selangor, mereka memberi alasan tiada peruntukan yang diberikan oleh kerajaan Selangor,

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri sehingga menyebabkan rakyat di Hulu Selangor sukar mendapat kemudahan jalan yang sempurna seperti negeri-negeri lain.

Artikel Lain