Saman Syabas Terhadap Kerajaan Selangor Didengar 11 Januari - Semasa | mStar

Saman Syabas Terhadap Kerajaan Selangor Didengar 11 Januari

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 11 Januari sebagai tarikh pendengaran kes saman bagi menuntut pampasan RM1.05 bilion yang dikemukakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) terhadap Kerajaan Selangor berhubung pertikaian tarif air.

Pada mulanya, Hakim Datuk Mary Lim dijadualkan mendengar perkara itu hari ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 Okt yang meluluskan permohonan Kerajaan Selangor untuk mengetepikan keputusan hakim membenarkan plaintif meminda kenyataan tuntutannya.

Peguam Datuk Harpal Singh Grewal yang mewakili Syabas memberitahu mahkamah bahawa walaupun kedua-dua pihak bersedia untuk meneruskan perbicaraan pada 23 Oktober, plaintif (Syabas) memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Harpal juga berkata Mahkamah Tertinggi itu membayangkan bahawa perkara berkenaan akan didengar dalam tempoh terdekat kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Hakim Lim menetapkan 17 Disember sebagai tarikh pengurusan kes untuk membolehkan pihak terbabit memaklumkan kepada mahkamah tentang keputusan rayuan plaintif oleh Mahkamah Persekutuan.

Dalam kenyataan tuntutan awalnya, plaintif mendakwa pihaknya menyatakan bahawa pampasan berkenaan perlu dikira berdasarkan kadar RM1.89 satu meter padu, tetapi kemudiannya memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memindanya kepada sama ada RM1.82 atau RM1.80 satu meter padu seperti yang terkandung dalam perjanjian konsesi air.

Dalam saman yang difailkan pada 10 November tahun lepas, Syabas meminta Kerajaan Selangor membayar RM1.05 bilion berhubung pelarasan tarif air.

Syabas mendakwa, berdasarkan perjanjian konsesi bertarikh 15 Dis, 2004 yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Selangor dan syarikat itu, ia diberi konsesi 30 tahun untuk membeli air yang dirawat daripada pengendali rawatan air dan membekalkan air yang dirawat kepada kawasan agihan, sejajar dengan terma yang terkandung dalam perjanjian berkenaan.

Syabas berkata melalui sepucuk surat bertarikh 31 Mac, 2008, pihaknya menghantar satu dokumen kepada Kerajaan Selangor untuk menyokong permohonannya menaikkan tarif yang diwartakan sebanyak RM1.39 satu meter padu kepada tarif baru yang dipersetujui iaitu RM1.89 satu meter padu bagi tempoh operasi ketiga dari 1 Jan, 2009 hingga 31 Dis, 2011.

Syarikat itu mendakwa defendan gagal memaklumkan kepadanya sama ada ia bersetuju menaikkan tarif yang telah diwartakan itu kepada tarif yang telah dipersetujui.

Syabas juga mendakwa ia telah menghantar beberapa pucuk surat kepada defendan untuk menuntut pampasan, sejajar dengan perjanjian konsesi, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan memuaskan.

Dalam afidavit balas, Kerajaan Selangor, melalui Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Datuk Ramli Mahmud, berkata tindakan Syabas mengemukakan saman itu merupakan perbuatan menyalahgunakan proses mahkamah dengan memberi alasan bahawa industri air sedang melalui penstrukturan semula seperti yang disyaratkan oleh Akta Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Pada prosiding hari ini, Kerajaan Selangor diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Fahda Nur Ahmad Kamar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Razin Pendiam, Suka Bersendirian Di Masjid

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

Artikel Lain