suria

Projek Kondo Di Batu Cave Dihentikan Sementara - MB

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor mengarahkan projek pembinaan dua blok kondominium 29 tingkat berhampiran kuil di Batu Caves dihentikan buat sementara waktu.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebuah jawatankuasa bertindak bebas akan dibentuk esok untuk menyelesaikan masalah itu.

Beliau berkata anggota jawatankuasa itu akan dilantik oleh Dewan Undangan Negeri Selangor.

"Anggota jawatankuasa akan dilantik dari kalangan profesional seperti peguam, bekas hakim dan perancang bandar," katanya pada sidang akhbar di Lobi Parlimen pada Selasa.

Ditanya sama ada pihak pengurusan kuil Batu Caves akan dilantik dalam jawatankuasa itu, Abdul Khalid berkata ia tidak membabitkan mereka yang berkepentingan termasuk dari pengurusan kuil tersebut.

Kira-kira 300 orang mengadakan demonstrasi di depan Kuil Sri Subramaniar Swamy pada 26 Okt lepas bagi membantah cadangan pembinaan kondominium berhampiran bukit batu kapur di Batu Caves.

Mengulas isu pembinaan rumah mampu milik di Selangor yang dibangkitkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai baru-baru ini, Khalid berkata butiran lengkap berhubung perkara itu akan diumumkan. BERNAMA

Artikel Lain