suria

Kerajaan Pusat Tegas Dengan Keputusan Laksanakan Langat 2

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan tegas dengan keputusannya untuk meneruskan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dengan alasan ia lebih menjimatkan serta dapat mengatasi krisis bekalan air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur. Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Noriah Kasnon berkata teknologi membran yang dicadangkan oleh kerajaan Selangor hanya dapat memberikan kesan penyelesaian jangka pendek dan ia tidak praktikal untuk jangka masa panjang. Berdasarkan kajian sejak 1990 an, kami mendapati keputusan terbaik dan lebih menjimatkan adalah menerusi projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor,” katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak) ketika sesi soal jawab di Parlimen pada Selasa. Khalid bertanya sama kerajaan Persekutuan akan menyemak semula keputusan untuk melaksanakan Langat 2 berbanding menggunakan teknologi membran untuk mengatasi krisis air di Selangor.

Noriah turut mengesahkan tidak ada bukti yang dapat mengesahkan bahawa teknologi membran yang dikemukakan oleh kerajaan Selangor itu dapat meningkatkan kapasiti air bersih di negeri itu.

“Ia mungkin dapat membersihkan dan meningkatkan kualiti air namun ia tidak mampu meningkatkan kuantiti bekalan air. “Teknologi itu juga memerlukan bekalan air mentah yang banyak dan ia juga tidak menggunakan bekalan air dari sungai yang berada di tahap optimum, ini akan memberikan kesan apabila bekalan air melebihi paras yang ditetapkan,” katanya. Noriah turut menggesa Kerajaan Selangor menilai semula keputusan mereka dan menerima keputusan kerajaan Persekutuan kerana krisis air dijangka lebih buruk pada 2017.

"Kami berharap Menteri Besar Selangor akan menukar fikiran dan meletakkan kepentingan rakyat dahulu melebihi apa jua," katanya.

Menurutnya, fasa pertama Langat 2 dijangka mampu mebekalkan kira-kira 1130 juta liter air sehari dan setakat 30 September, perkembangan keseluruhan projek tersebut adalah 28.39 peratus berbanding dengan pelan asal yang sepatutnya sudah mencecah 66.34 peratus.

"Projek ini tergendala kira-kira 589 hari bekerja," tambahnya.

Noriah turut mengesahkan kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM606 juta bagi beberapa projek mitigasi bagi mengelakkan krisis air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

"Kerajaan Selangor juga terlibat dalam projek mitigasi dan ini menunjukkan secara tidak langsung mereka mengakui akan berlaku krisis bekalan air di tiga kawasan yang dinyatakan pada 2014 sekiranya tidak ada sebarang tindakan diambil," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan, Khairy Jamaluddin (BN- Rembau).

Artikel Lain