suria

Warga Emas Ditemui Mati Di Bawah Longgokan Baju

SHAH ALAM: Seorang wanita warga emas berumur 60 tahun ditemui mati di bawah longgokan baju dipercayai dibunuh dalam satu kejadian di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Spektrum U16/22, Bukit Subang, Sabtu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Rusdi Mohd Isa berkata, anak saudara perempuan mangsa telah memaklumkan kejadian itu kepada polis pada kira-kira 1.30 petang.

"Anak saudara mangsa ada menghubungi mangsa pagi tadi namun panggilan tidak dijawab, ekoran risau tentang keadaan warga emas itu, anak saudaranya ke rumah mangsa.

"Pemeriksaan ke atas rumah itu, anak saudara itu kemudian menemui kesan darah di tingkat atas rumah sebelum menemui mayat mangsa di bawah timbunan baju di bilik tidur rumah itu," katanya ketika dihubungi.

Pemeriksaan awal polis mendapati mangsa cedera di bahagian kepala akibat dipukul menggunakan objek keras.

Katanya, tiada kesan rumah itu dipecah masuk dan polis masih menyiasat sekiranya terdapat barang milik mangsa yang hilang.

"Mangsa tinggal bersama anak lelakinya berumur 28 tahun. Namun anak lelakinya tiada di rumah sejak Khamis lepas.

"Kita akan memanggil anak lelaki mangsa untuk memberi keterangan dalam masa terdekat ini bagi membantu siasatan,' katanya.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh dalam tempoh 24 jam berdasarkan keadaan mayat.

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain