suria

Sepasang Kekasih Maut Selepas Rumah Didiami Terbakar

JOHOR BAHARU: Sepasang kekasih maut dipercayai akibat sesak nafas selepas rumah mereka di Polo Park, Jalan Bentara Luar Satu, di sini mengalami kebakaran, Ahad.

Kebakaran yang dipercayai berpunca dari bahagian belakang rumah jenis townhouse itu berlaku pada 11 pagi dan menyebabkan kedua-dua mangsa, Ang Lye Hock, 52, dan Angielee Ambrose, 29, meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, Ang yang merupakan rakyat Singapura dan Angielee, yang berasal dari Sabah, sebelum itu dipercayai bertengkar di dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan sebelum berlaku kebakaran.

Seorang jiran mangsa yang juga pengurus bangunan berkenaan, Baharudin Saffri Aksan, 46, ketika ditemui berkata kejadian disedari ketika dia sedang berada di balkoni untuk membersihkan penghawa dingin rumahnya yang terletak berhadapan dengan rumah mangsa.

"Pada mulanya saya dengar orang bergaduh. Saya buat tidak tahu sahaja kerana sering mendengar mereka (mangsa) bergaduh sebelum ini. Tiba-tiba saya mendengar bunyi letupan dan kelihatan asap tebal dari rumah mangsa.

"Saya bergegas turun dan cuba memberi bantuan dengan membuka pintu rumah berkenaan, namun gagal kerana pintu tersebut dikunci dari dalam dan Angielee mungkin telah pengsan. Api semakin marak dan jiran yang lain juga cuba membantu tetapi tidak berjaya," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Supt Abdul Samad Salleh berkata pihaknya difahamkan kedua-dua mangsa sedang bertengkar sebelum kedengaran bunyi sesuatu benda meletup.

Katanya siasatan awal polis tidak menemui sebarang unsur jenayah terhadap kebakaran itu dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Baharu Raja Saiful Iswandi Raja Hassan pula berkata pihaknya dimaklumkan kejadian itu pada 11.15 pagi tadi dan tiga jentera bersama 18 anggota bomba tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

Beliau berkata api dipadam sepenuhnya pada 11.50 pagi dan mayat Angielee ditemui di bahagian ruang tamu manakala mayat Ang ditemui di bilik mandi.

Kebakaran itu menyebabkan rumah terbabit 70 peratus musnah dan punca kebakaran sebenar sedang disiasat, katanya. BERNAMA

Artikel Lain