suria

Polis Sedang Kenal Pasti Identiti Pemandu Kereta Yang Terlibat Dalam Kemalangan

TASEK GELUGOR: Polis sedang mengenal pasti identiti pemandu kereta yang dilaporkan maut dalam satu kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, dekat sini awal pagi Ahad selepas seorang lelaki di Selangor mendakwa kad pengenalan yang digunakan mangsa adalah miliknya.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pihaknya telah menghantar pegawainya ke rumah lelaki yang mendakwa kad pengenalannya digunakan pemandu kereta berkenaan di Kampung Selayang Baru, Batu Caves, Selangor bagi menyiasat dakwaan terbabit.

Katanya pengecaman mayat pemandu kereta itu dibuat berdasarkan dokumen pengenalan diri yang terdapat bersama mangsa semasa berlaku kemalangan berkenaan.

"Sehingga hari ini kita belum tahu identiti sebenar pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan terbabit dan saya difahamkan mayatnya telah dituntut isteri ketiganya semalam di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

"Polis juga akan memanggil anggota keluarga mangsa termasuk isteri-isterinya bagi merekodkan keterangan untuk kita mendapatkan maklumat terperinci tentang mangsa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Komuniti Policing Majlis Korban Perdana Polis Diraja Malaysia Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara bersama kariah Masjid Padang Menora, di sini Isnin.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan seorang lelaki Sadisafizan Saad, 36, di Kampung Selayang Baru, Selangor terkejut selepas dilaporkan terbunuh bersama dua yang lain dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, awal pagi semalam.

Beliau mendakwa kekeliruan identiti si mati yang menggunakan namanya berlaku mungkin ada kaitan dengan kehilangan kad pengenalannya pada 28 September tahun lepas.

Dalam kemalangan itu, pemandu yang menggunakan nama Sadisafizan bersama rakannya, Muslim Idwar, 38, dari Batu 6, Gombak, Kuala Lumpur dan seorang wanita Indonesia Mai Linda, 18, terbunuh selepas kereta jenis Proton Perdana yang dipandu laju terbabas melanggar tembok Jambatan Pulau Pinang.

Abdul Rahim berkata seorang lagi penumpang kereta berkenaan iaitu wanita warga Indonesia yang berusia lingkungan 20-an dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang dan masih dalam keadaan kritikal berikutan cedera parah.

"Identiti wanita itu juga belum dikenal pasti kerana kita tidak dapat merekodkan keterangannya berikutan keadaan dia yang masih belum sedar," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain