suria

Pelancong, Peniaga Bantah Projek Kondominum Batu Caves

KUALA LUMPUR: Pelancong dan peniaga setempat tidak bersetuju dengan projek kondominium 29 tingkat yang dicadang dibina dekat kompleks kuil Batu Caves di sini, dengan berpendapat kawasan itu mungkin kehilangan daya tarikan dan keunikannya jika diteruskan di samping boleh membahayakan keselamatan.

Lukasz Pietrazak, 32, dari Poland berkata secara peribadi dia berpendapat projek seperti itu tidak perlu dibina di tempat yang disenaraikan sebagai satu daripada daya tarikan utama pelancong di Kuala Lumpur.

"Saya sukakan tempat ini kerana ia memberi saya peluang untuk belajar tentang budaya dan sejarah tempatan. Jika kondominium dibina di sini, saya rasa ia akan memusnahkan pemandangan yang indah ini," kata pelawat yang julung kali berkunjung ke Malaysia itu kepada Bernama.

Pietrazak berkata dia terpesona dengan apa yang ditawarkan oleh Malaysia kepada pelancong asing dari segi kepelbagaian budaya dan makanan di samping kawasan tarikan pelancong seperti Batu Caves.

Pendapatnya itu dikongsi oleh Dara Sambaiah, 64, pelawat dari India yang berada di sini atas urusan kerja.

"Seperti yang anda dapat lihat ini adalah kawasan batu kapur. Saya tak fikir ia selamat untuk membina struktur pencakar langit di sini memandangkan cerucuknya perlu cukup kuat untuk menyokong bangunan," katanya.

Jumlah pengunjung akan terjejas jika projek itu diberi lampu hijau untuk diteruskan, katanya dan menambah kerja pembinaan serta bunyi bising mungkin menimbulkan ketidakselesaan kepada ramai orang.

Kira-kira 300 orang mengadakan bantahan aman di hadapan Kuil Sri Subramaniar Swamy pada 26 Okt lepas untuk membantah cadangan pembinaan dua blok kondominium 29 tingkat berhampiran bukit batu kapur di Batu Caves itu.

Bekas Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berkata pembinaan struktur pencakar langit itu perlu dihentikan kerana ia boleh membawa kesan buruk terhadap eko-sistem bukit batu kapur di situ.

K.Kumaravel, 35, yang mengusahakan kedai pakaian di luar kawasan itu, berkata pelancong mungkin kurang berminat untuk berkunjung ke Batu Caves jika pemandangannya sudah tidak lagi menarik.

"Ini mungkin menjejaskan perniagaan kami yang bergantung 70 peratus kepada pelancong," kata Kumaravel yang berniaga di kawasan itu sejak 10 tahun lepas.

Sementara itu, pengusaha kedai cenderahati K.Mageswari, 63, berkata terdapat keperluan untuk mempertimbangkan semula cadangan projek itu dengan tujuan memelihara kawasan berkenaan.

"Batu Caves bukan sekadar daya tarikan pelancong, sebaliknya warisan negara yang perlu diuruskan dengan sebaik-baiknya," katanya. BERNAMA

Artikel Lain