suria

MP Stampin Dan Mambong Sokong Cadangan Umum Nama Calon Lebih Awal

KUCHING: Anggota Parlimen Stampin Datuk Yong Khoon Seng dan anggota Parlimen Mambong Datuk Dr James Dawos Mamit menyokong cadangan supaya Barisan Nasional (BN) mengumumkan lebih awal nama calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Yong menyifatkan cadangan tersebut sesuai dengan situasi semasa, selain memberi peluang kepada calon yang terpilih untuk bersedia lebih awal.

"Bagus beritahu awal supaya calon-calon dapat terus bekerja. Situasi sekarang agak kelam-kabut kerana masing-masing tidak tahu siapa yang akan jadi calon dan seterusnya bertanding," katanya selepas melancarkan Program Penyelengaraan Pili Bomba di sini, Ahad.

Dawos yang juga Timbalan Menteri Pelancongan persekutuan pula berkata langkah itu akan membolehkan calon membuat perancangan strategik bagi menghadapi pilihan raya.

"Terserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN, untuk membuat keputusan," katanya.

Baru-baru ini beberapa pemimpin BN menggesa agar calon yang akan bertanding diumum lebih awal untuk menangani kemungkinan wujud perbuatan sabotaj.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee berkata Umno perlu tampil berani untuk mengumumkan lebih awal calon mana yang layak bertanding pada pilihan raya umum akan datang demi menjamin kemenangan parti dan BN.

Beliau berkata apabila parti membuat keputusan tersebut (umum awal), sekurang-kurangnya calon yang dipilih ada masa untuk berkempen dan berdepan dengan cabaran orang yang sabotaj parti.

"Bagi saya, kalau kita bagi tahu dan umum awal, ini satu kelebihan. Apa nak takut. Kita perlukan kemenangan. Suka atau tidak suka, kena namakan calon," katanya kepada Bernama.

Setiausaha Agung BN dan Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini dipetik berkata BN berkemungkinan menamakan calon pilihan raya umum lebih awal, berbanding sehari atau dua hari sebelum hari penamaan calon yang diamalkan sebelum ini. BERNAMA

Artikel Lain