suria

Lam Thye Ucap Tahniah Kepada Polis Gagalkan Cubaan Pecah Masuk

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye memuji kepantasan polis menahan penjenayah yang cuba memecah masuk rumahnya di Taman Maluri, Cheras di sini, Ahad.

"Saya difahamkan oleh unit peronda polis bahawa ada penjenayah cuba memecah masuk rumah saya. Ketika itu saya ada di rumah bersama isteri dan pembantu rumah saya.

"Namun setiap sudut rumah saya berkunci dan tiada barang berharga yang hilang," katanya yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia kepada Bernama.

Polis kemudiannya menahan empat lelaki dalam kes itu yang berlaku kira-kira 5 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata polis yang membuat rondaan di kawasan itu pada mulanya telah terserempak dengan dua lelaki yang cuba memasuki kawasan rumah Lee dengan memanjat tembok rumah.

"Apabila menyedari kehadiran polis, kedua-dua suspek meluru masuk ke dalam sebuah kereta Mercedes Benz yang menunggu dan memecut meninggalkan tempat itu.

"Polis mengejar suspek yang kemudiannya merempuh palang pos pengawal di Kondominium Pertiwi yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah Lee serta cuba melanggar anggota polis yang mengejar mereka," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata polis melepaskan tujuh das tembakan bagi mengelak daripada dirempuh oleh kereta berkenaan sebelum berjaya menahan empat lelaki tempatan berumur antara 30 hingga 40 tahun di dalamnya.

Mohan berkata seorang daripada suspek cedera di kepala akibat terkena serpihan cermin kereta mereka dan polis menjumpai beberapa peralatan samun, pecah rumah dan curi kenderaan di dalam kereta yang digunakan mereka.

"Antara peralatan yang dijumpai ialah dua alat gerudi, tiga mata gerudi, satu set kunci L, empat pemutar skru, sembilan playar dan dua tukul kuku kambing," katanya.

Turut ditemui ialah barangan yang dipercayai dicuri seperti seutas jam tangan, lima anak kunci kereta dan beberapa telefon bimbit.

Kesemua suspek ditahan reman empat hari sehingga Rabu. BERNAMA

Artikel Lain