suria

Hanya Satu Permohonan Untuk BR1M 2.0 - Donald Lim

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak sepatutnya cuba untuk menipu bagi mendapatkan lebih banyak bantuan tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 dengan membuat permohonan banyak kali di kawasan berbeza.

"Jika anda layak, anda hanya boleh memohon sekali," Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim memberitahu pemberita di Parlimen, Isnin.

Beliau menambah mereka yang menerima bantuan pada tahun lepas tidak perlu memohon sekali lagi kerana kementerian sudah mempunyai rekod.

Lim berkata, terdapat kes di mana orang yang sama memohon bantuan tunai dari lima negeri berbeza tetapi telah ditangkap kerana kementerian mengesannya melalui nombor kad pengenalan.

"Kami menjangkakan peningkatan 10 peratus pemohon kali ini. Tahun lepas 4.35 juta isi rumah daripada 5.2 juta pemohon telah diluluskan untuk mendapat bantuan," kata Lim, sambil menambah sejumlah RM2.15 bilion telah diserahkan pada tahun lepas.

Pendaftaran bagi BR1M akan bermula pada 1 November di mana borang permohonan boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri, www.hasil.gov.my.

Pengagihan untuk BR1M akan dibuat pada Januari tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam pembentangan Bajet 2013 mencadangkan sumbangan bantuan di bawah BR1M 2.0 secara tunai sebanyak RM250 kepada ibu tunggal, individu yang belum berkahwin berumur 21 dan ke atas, yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan.

Lim berkata kira-kira 2.7 juta ibu tunggal, individu belum berkahwin dijangka memohon bantuan lanjutan, yang permohonannya bermula pada 1 November.

Artikel Lain