suria

Pemimpin, Parti Diminta Berpolitik Secara Toleransi

MARAN: Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan setiap pemimpin dan parti politik supaya berhati-hati dalam menegakkan manifesto masing-masing serta diminta berpolitik secara bertoleransi.

Titahnya apa yang perlu diutamakan adalah pengorbanan mereka untuk kesejahteraan rakyat, agama, bangsa dan negara.

"Setiap pemimpin dan parti politik perlu mengurangkan perbezaan dan mengamalkan politik berasaskan toleransi, jangan berjuang dan berkorban untuk kepentingan diri semata-mata tanpa memikirkan implikasinya terhadap rakyat," titah baginda pada majlis ibadah korban perdana Parlimen Maran di sini, Ahad.

Baginda bertitah setiap pemimpin serta parti politik juga perlu mengamalkan konsep muhibah dan harmoni dalam pentadbiran masing-masing.

"Setiap parti mempunyai visi yang sama iaitu untuk membantu rakyat dan seharusnya mereka duduk bersama bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Percanggahan pandangan politik yang keterlaluan tidak membawa manfaat kepada kesejahteraan rakyat, malah hanya mengeruhkan keadaan dan tidak mencerminkan kematangan politik di negara ini," titah baginda.

Tengku Abdullah turut berharap pihak yang menjalankan ibadah korban supaya memastikan daging haiwan korban sampai kepada golongan sasaran kerana bimbang ia juga mungkin akan dipolitikkan pihak-pihak tertentu.

Pada majlis itu sebanyak 50 ekor lembu dikorbankan dan diagihkan kepada golongan memerlukan di 47 buah kampung di Parlimen Maran. BERNAMA

Artikel Lain