Menteri Arah Siasat Kes Elektrik Terputus Lapangan Terbang KK - Semasa | mStar

Menteri Arah Siasat Kes Elektrik Terputus Lapangan Terbang KK

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha mahu siasatan dijalankan berhubung punca bekalan elektrik terputus di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Khamis lepas yang menyebabkan penerbangan dibatalkan dan ramai penumpang terkandas.

Beliau berkata kementerian tidak akan melindungi sesiapapun dalam siasatan ini dan memberi amaran tindakan tegas terhadap "pihak yang cuai" tanpa mengira sama ada ia merupakan individu, pihak berkuasa tempatan atau pengendali lapangan terbang.

"Jika hasil siasatan menunjukkan ada unsur sabotaj, maka laporan polis akan dibuat untuk tindakan undang-undang selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Sabtu.

Kong berkata beliau merasa amat dukacita atas kejadian itu yang menimbulkan keresahan dan kemarahan di kalangan orang ramai yang bakal meraikan Hari Raya Aidiladha di kampung halaman masing-masing.

Beliau juga berharap pengendali lapangan terbang dapat memastikan wujudnya Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) jika perkara sebegini berlaku pada masa akan datang.

KKIA ditutup pada malam Khamis selepas lampu landasan tidak berfungsi sehingga memaksa beberapa penerbangan masuk dan keluar dibatalkan atau dijadual semula menyebabkan ramai penumpang terkandas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Mayat Wanita Ditemui Dalam But Kereta

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Boo anjing paling comel di dunia mati