suria

Polis Tahan Tiga Lelaki Dan Wanita Warga Thailand, Rampas Pistol

PETALING JAYA: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai pengedar dadah dan seorang wanita warga Thailand serta merampas sepucuk pistol jenis revolver di sebuah hotel di Dataran Sunway di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata dalam serbuan pada 11 pagi itu, polis turut menemui empat butir peluru, dua butir kelongsong peluru, dua komputer riba, lima paket dadah jenis syabu seberat 23 gram, lapan biji erimin 5 dan beberapa peralatan menghisap syabu.

"Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 20-an hingga 30-an dan siasatan awal dibuat kesemuanya positif dadah. Mereka ini juga dipercayai terlibat dalam kes jenayah senjata api dan beberapa kes jenayah lain," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata dua daripada suspek berkenaan juga mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8a, Akta Senjata Api 1960, Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 39A, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2), Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, Arjunaidi berkata polis merampas 94 gulungan kabel pengalir tembaga dan aluminium milik sebuah syarikat kabel di Bandar Sunway yang bernilai lebih RM100,000 dalam serbuan di sebuah premis barangan lusuh di Taman Desa Ria pada 19 Oktober lepas.

Katanya dalam serbuan pada 1 pagi itu, polis turut menahan lima lelaki berumur lingkungan 30-an dan 40-an di situ dan seorang daripadanya dipercayai majikan premis tersebut.

"Empat lagi yang ditahan adalah pekerja, dua daripadanya warga India dan selebihnya warga Indonesia dan kesemuanya tidak memiliki dokumen yang sah. Kami juga menemui 1100 kilogram pengalir kabel tembaga dan aluminium yang sudah diproses menjadi bahan lusuh.

"Pada mulanya siasatan dilakukan terhadap kes lain yang berlaku di Kota Damansara namun hasil siasatan mendapati kes tersebut berkaitan dengan kes curi kabel di Bandar Sunway," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek membeli gulungan kabel tersebut daripada orang lain dengan harga RM40 ribu," katanya.

Siasatan mendapati premis tersebut beroperasi tanpa lesen.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain