suria

Tidak Perlu Politikkan Perdamaian MILF-Filipina - Shafie Apdal

SEMPORNA: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa pihak yang berkenaan agar tidak mempolitikkan isu perdamaian Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina.

Sebaliknya kata beliau, perkara itu wajar dijadikan iktibar oleh rakyat negara ini terutama dalam memperkukuhkan perpaduan.

"Kita juga harus berdoa semoga matlamat kerangka perjanjian damai yang ditandatangani itu tercapai," katanya kepada pemberita selepas solat sunat Aidiladha dan penyerahan lembu korban, di sini Jumaat.

Katanya, pemeteraian kerangka perjanjian damai itu membawa banyak manfaat, bukan sahaja kepada Filipina tetapi juga Malaysia, khususnya Sabah.

Apabila keadaan damai wujud di wilayah selatan Filipina itu, pertumbuhan ekonomi di situ dan juga Sabah khususnya akan menjadi lebih pesat, kata Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Kerangka perjanjian damai itu ditandatangani MILF dan kerajaan Filipina pada 15 Oktober lepas, disaksikan Presiden Filipina Banigno Aquino III dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peranan Malaysia sebagai fasilitator dalam rundingan damai tersebut mendapat perhargaan banyak pihak termasuk Amerika Syarikat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain