suria

Peluang Menyaksikan Majlis Resepsi Chong Wei/Mew Choo

PUCHONG: Mulai 28 Oktober ini, para peminat pemain badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei boleh menyertai peraduan melalui laman sosial Facebook bagi merebut peluang menghadiri majlis perkahwinan pemain nombor satu dunia itu.

Pengarah Pemasaran Jenama Chong Wei Bina Jaya Sdn Bhd Sachi Choo berkata para peminat hanya perlu klik 'Like' kepada 'Lee Chong Wei Official Fans Club' dan mengemukakan komen mereka dengan 'I wish to participate Lee Chong Wei and Wong Mew Choo's wedding because...' , untuk dipilih sebagai pemenang.

"Peminat boleh mengemukakan komen mereka berdasarkan kreativiti masing-masing. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 5 November.

"Bagaimanapun, 10 komen terbaik akan dipilih oleh Datuk Lee dan (bakal pengantin) Wong Mew Choo berdasarkan kreativiti bagi menghadiri majlis perkahwinan mereka," katanya kepada pemberita pada persidangan media bagi mengumumkan perkembangan perkahwinan itu, di Bandar Puteri di Puchong, Jumaat.

Katanya, keputusan peraduan akan diumumkan sehari selepas tarikh tutup penyertaan iaitu pada 6 November melalui laman web kelab peminat itu.

Beliau berkata tetamu kehormat yang mengesahkan kehadiran mereka setakat ini ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan keluarganya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Kami telah mengagihkan kad jemputan kepada tetamu kehormat yang lain dan diharapkan mereka dapat mengesahkan kehadiran mereka secepat mungkin," katanya.

Majlis makan malam resepsi itu akan diadakan selama dua hari iaitu 9 November (Jumaat) bagi tetamu jemputan dan 10 November (Sabtu) bagi anggota keluarga dan rakan-rakan.

Menurut Choo, 10 peminat bertuah yang dipilih itu berpeluang menghadiri majlis perkahwinan yang akan diadakan pada 9 November di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain