suria

Malaysia Dan India Rancang Tandatangan MoU Pentadbiran Awam

NEW DELHI: Malaysia dan India merancang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam bidang pentadbiran awam dan urus tadbir, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Katanya MoU itu bertujuan merapatkan lagi hubungan sektor awam kedua-dua negara.

"Kita harap menerusinya dapat mempermudahkan program dua hala yang sedia ada antara Kuala Lumpur dan New Delhi," katanya selepas pertemuan dengan Setiausaha Jabatan Pembaharuan Pentadbiran dan Aduan Awam India, Sanjay Kothari, di sini pada Jumaat.

Menurutnya kerjasama sedemikian turut membantu mempermudahkan urusan perniagaan antara kedua-dua negara.

"Kami akan bawa cadangan ini kembali ke Malaysia dan membincangkannya dengan Peguam Negara sebelum mendapatkan kelulusan Kabinet," kata Ali kepada Bernama. MoU itu katanya masih pada peringkat penggubalan.

Beliau berkata Malaysia dan India berharap untuk menandatangani MoU itu pada Januari depan dan kemungkinan besar majlis akan berlangsung di Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain