suria

Dua Maut, Tiga Cedera Dalam Nahas Tiga Kenderaan

KUANTAN: Dua lelaki maut manakala tiga lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 71 Jalan Lipis - Merapoh dekat Kampung Sungai Yu pada Khamis.

Dalam kemalangan 7.45 pagi itu, pemandu kereta Perodua Kancil, Mohd Syafiq Mohd Rosdi, 22, dan penumpang di bahagian belakang, Mohd Fahmee Izuddin, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di dada dan patah tulang rusuk.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superitendan Abdul Razak Hassan berkata, jenazah mereka dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan jenazah mereka telah dituntut keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian petang Khamis.

Katanya, rakan lelaki mereka yang duduk di sebelah Mohd Syafiq hanya cedera ringan manakala seorang pemandu sebuah lagi kenderaan yang berumur lingkungan 50-an dan seorang penumpang wanita berumur 25 tahun cedera ringan.

Beliau berkata, semasa kejadian, Mohd Syafiq dan rakan-rakannya sedang dalam perjalanan dari arah Lipis menuju ke Merapoh untuk pulang berhari raya di Kelantan.

"Di lokasi kejadian, dipercayai pemandunya (Mohd Syafiq) hilang kawalan lalu termasuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Proton Waja yang datang dari arah hadapan menyebabkan Perodua Kancil tersebut berpusing di atas jalan sementara kereta Proton Waja terbabas dan melintang di atas jalan.

Menurut Abdul Razak pada masa yang sama sebuah lori yang datang dari arah belakang melanggar Proton Waja terbabit di bahagian sisi kanan. Bagaimanapun, pemandu lori berumur lingkungan 20-an tidak cedera. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain