suria

Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Bas Ketika Lampu Isyarat Merah

BUTTERWORTH: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah bas kilang yang gagal berhenti di simpang lampu isyarat Jalan Perindustrian Perai 4, di sini petang Rabu.

Jurucakap polis berkata kemalangan pukul 5.50 petang itu yang berlaku ketika lampu isyarat merah turut membabitkan tiga kereta dan sebuah motosikal lain.

"Menurut beberapa saksi di tempat kejadian, bas kilang yang dari Autocity Juru menghala ke kawasan Perai gagal memberhentikan kenderaannya sebelum merempuh tiga buah kereta serta dua buah motosikal yang sedang berhenti di lampu isyarat berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, seorang penunggang motosikal yang dikenali sebagai Tan Heong Wai, 32, dari Pangsapuri Widuri, di sini mati di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di kepala," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya seorang lagi penunggang motosikal iaitu wanita berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

"Manakala tiga pemandu kereta jenis kancil, Proton wira dan Toyota Avanza hanya mengalami kecederaan ringan. Pemandu bas kilang berkenaan iaitu lelaki berusia lingkungan 50-an melarikan diri sebaik kemalangan berkenaan," katanya.

Ketika kejadian bas kilang itu tidak membawa penumpang, katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain