suria

Dua Pemandu Bas Pelancong Dikesan Positif Dadah

KOTA KINABALU: Dua pemandu bas pelancong dikesan positif dadah semasa Operasi Bersepadu Kementerian Pelancongan Malaysia di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kimanis, Papar di sini, Jumaat lepas.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Sabah Nely Nasir berkata pihaknya kini menunggu laporan penuh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berhubung kes dua pemandu pelancong itu.

"Jika didapati pemandu terbabit benar-benar positif dadah, pihak kami akan menjalankan audit terhadap syarikat (tempat mereka bekerja), kerana hanya seorang pemandu dibenarkan memandu lapan jam sehari," katanya pada sidang media di pejabatnnya di sini, Jumaat.

Operasi dua hari bermula Jumaat itu turut melibatkan JPJ Sabah, polis, AADK, Jabatan Imigresen dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Sabah.

Nely berkata daripada 35 kesalahan yang dikesan dalam operasi itu, 16 syarikat pelancongan didapati gagal mengemukakan senarai nama penumpang dan jadual perjalanan yang teratur.

Selain itu, katanya enam syarikat turut dikesan mengemukakan permit kenderaan yang tamat tempoh dan tidak membawa permit asal kenderaan pelancongan.

Kesalahan lain termasuk tidak menggunakan khidmat pelancong berlesen dan menggunakan kenderaan persendirian untuk tujuan pelancongan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain