suria

Datuk Terkejut Bunyi Disangka Mercun, Rupanya Tembakan

KLANG: Seorang lelaki bergelar 'Datuk' terkejut apabila mendapati bunyi letupan yang disangka mercun sebenarnya tembakan yang mengenai pagar rumahnya di Taman Eng Ann, di sini malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Shukor Sulong berkata mangsa yang berusia 43 tahun itu hanya menyedari terdapat kesan tembakan tersebut ketika hendak keluar bekerja pukul 8 pagi ini.

Pemeriksaan polis di kawasan rumah tersebut mendapati ada tiga kesan tembakan dan polis menemui tiga kelongsong peluru bersaiz sembilan milimeter di kawasan berhampiran, katanya kepada pemberita, di sini.

Katanya rakaman kamera litar tertutup di rumah mangsa mendapati tiga lelaki menaiki dua motosikal jenis Honda dan memakai topi keledar dengan penutup muka berhenti di hadapan rumah mangsa dan melepaskan tembakan.

Kejadian itu dipercayai berlaku pukul 11.40 malam, katanya menambah polis sedang menyiasat motif insiden.

Katanya menurut mangsa yang tinggal di rumah berkenaan sejak dari zaman kecil, kejadian itu merupakan kali pertama.

Mangsa tinggal di rumah itu bersama enam anggota keluarganya dan seorang pembantu rumah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana kesalahan melepaskan tembakan di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain