suria

Tiga Premis Menjual Pakaian Hentian Bas MBKT Terbakar

KUALA TERENGGANU: Tiga premis menjual pakaian serta tudung di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terbakar pagi Rabu.

Kejadian pada pukul 12.35 pagi itu menyebabkan dua kedai musnah sama sekali manakala sebuah lagi hampir musnah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota Azmi Salleh berkata 25 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba Jalan Kota dan Balai Bomba Kuala Terengganu mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke 16 deretan kedai lain.

Punca kejadian dan nilai sebenar kerugian masih disiasat, katanya.

Pengawal keselamatan MBKT Ahmad Hazelan Abdullah, 38, berkata beliau terhidu bau hangit semasa sedang minum bersama seorang rakannya di tingkat bawah hentian bas itu.

"Curiga dengan bau itu, saya dan rakan ke tingkat atas yang menempatkan premis menjual pakaian dan tudung dan kami melihat api sedang marak di kedai itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain