suria

Tiada Rancangan Pemberian Rebat Tunai Untuk Pembeli Kereta Hibrid -Mustapa

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak merancang untuk memberi rebat tunai sebagai insentif membeli kenderaan cekap tenaga (EEV) serupa yang dilaksanakan di Amerika Syarikat atau lain-lain negara-negara Eropah.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata subsidi untuk menarik pembeli supaya membeli kereta elektrik akan melibatkan pengeluaran banyak dana yang akan diambil dari kementerian lain.

"Pada masa ini, untuk menarik pengguna, Kerajaan telah tarik balik duti import untuk EEV manakala syarikat-syarikat kereta utama telah diberi insentif untuk menarik mereka supaya menubuhkan operasi pengilangan mereka di negara ini," katanya kepada Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, Rabu.

Ismail telah ditanya sama ada Kerajaan akan menimbang pemberian rebat tunai seperti di Amerika Syarikat atau negara-negara Eropah untuk menarik lebih ramai orang untuk membeli kenderaan EEV atau hibrid.

Mustapa berkata insentif yang diberikan oleh Kerajaan kepada syarikat-syarikat utama telah menarik syarikat-syarikat seperti Honda, yang baru-baru ini menubuhkan sebuah kilang EEV di Melaka yang mana telah menarik pelaburan bernilai RM1 bilion.

"Kilang baru membolehkan 1,000 peluang pekerjaan baru bagi penduduk tempatan serta pengeluaran kira-kira 50,000 EEV dipasang tempatan akan dijual di tempatan dan negara Asean yang lain," katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa pengurangan duti eksais kereta import perlu dikaji dengan teliti untuk mengelakkan sebarang implikasi negatif kepada ekonomi.

"Kami percaya bahawa kos pemilikan kenderaan masih dianggap murah berbanding dengan negara-negara Asean yang lain jika kita mengambil pertimbangan faktor-faktor lain seperti subsidi minyak dan gas, kos penyelenggaraan, insurans dan lain-lain.

"Kita juga perlu melihat ke dalam kesan pada peniaga kereta terpakai, pengangkutan awam serta masalah kesesakan sebelum kita menimbang mengurangkan duti import," katanya kepada Datuk Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang), yang bertanya sama ada Kerajaan bertujuan untuk mengurangkan duti eksais untuk kereta.

Artikel Berikut

Artikel Lain