suria

Saman Tarif Air: Syabas Dapat Kebenaran Merayu

PUTRAJAYA: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) boleh merayu kepada Mahkamah Persekutuan keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkannya meminda kenyataan tuntutan berkaitan saman sivilnya terhadap kerajaan Selangor kerana tidak menaikkan tarif air.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa yang memberi kebenaran kepadanya untuk mengemukakan rayuan.

Syabas memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkannya meminda penyata tuntutan untuk memasukkan dua kadar alternatif bagi mengira kuantum pampasan yang patut diterimanya.

Panel lima anggota yang diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin meluluskan permohonan Syabas untuk mendapatkan kebenaran membuat rayuan berlandaskan soal perundangan yang akan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Zulkefli juga memerintahkan agar satu tarikh awal ditetapkan bagi mendengar kes itu.

Panel itu turut dianggotai Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Datuk Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Pada 10 November tahun lepas, Syabas memfail saman sivil dengan menamakan kerajaan Selangor sebagai defendan. Selepas itu, kerajaan Selangor menyeret kerajaan persekutuan sebagai pihak ketiga dalam saman berkenaan.

Syarikat itu menuntut kerajaan Selangor membayar RM1.05 bilion sebagai bayaran pelarasan tarif air.

Dalam penyata tuntutannya, Syabas menyatakan pengiraan pampasan yang dituntutnya dibuat berdasarkan formula RM1.89 bagi satu meter padu.

Kemudian, syarikat itu memfail permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membuat pindaan terhadap tuntutannya dengan memasukkan dua kadar lain -- RM1.82 dan RM1.80 bagi satu meter padu -- bagi mengira bayaran pampasan.

Dalam penyata tuntutannya, Syabas berkata berdasarkan perjanjian konsesi bertarikh 15 Disember, 2004 yang ditandatanganinya dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Selangor, ia diberi konsesi 30 tahun untuk membeli air yang dirawat daripada pengendali rawatan air dan membekalkannya ke kawasan pengedaran mengikut syarat yang ditetapkan dalam perjanjian berkenaan.

Kata syarikat itu, melalui surat bertarikh 31 Mac 2008, ia menghantar satu dokumen kepada kerajaan Selangor untuk menyokong permohonannya menaikkan tarif yang diwartakan sebanyak RM1.39 satu meter padu bagi tempoh pengoperasian ketiga dari 1 Januari 2009 hingga 31 Disember, tahun lepas.

Syabas mendakwa kerajaan Selangor gagal memaklumkan kepadanya sama ada ia bersetuju menaikkan tarif yang diwartakan itu kepada kadar yang telah dipersetujui.

Syabas juga mendakwa ia telah menghantar beberapa pucuk surat kepada kerajaan Selangor untuk menuntut pampasan, sejajar dengan perjanjian konsesi, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan memuaskan daripada kerajaan negeri.

Dalam afidavit jawapannya, kerajaan Selangor, melalui setiausaha kerajaan negeri ketika itu, Datuk Ramli Mahmud, berkata saman yang dikemukakan Syabas merupakan perbuatan menyalahguna proses mahkamah memandangkan industri air sedang disusun semula seperti yang disyaratkan Akta Industri Air 2006 dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meluluskan permohonan Syabas untuk meminda penyata tuntutannya bagi memasukkan kadar alternatif.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan meluluskan permohonan kerajaan Selangor untuk membuat rayuan dan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain