suria

Cadangan Tangguh Hukuman Mati Kesalahan Dadah Ke Kabinet Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Cadangan menangguhkan hukuman mati bagi pesalah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 akan dibawa kepada pertimbangan kabinet minggu depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata tempoh penangguhan itu dicadangkan sehingga Jabatan Peguam Negara selesai melakukan kajian semula ke atas pelaksanaan hukuman mati mandatori atas kesalahan di bawah akta itu.

"Cadangan penangguhan hukuman mati itu turut melibatkan 75 warga Indonesia yang dijatuhkan hukuman mati dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Enam adalah wanita dan selebihnya lelaki," katanya.

"Kami memilihi Akta Dadah Berbahaya kerana akta ini lebih mudah dijustifikasi berbanding kesalahan lain seperti bunuh di bawah Kanun Keseksaan. Dalam kes bunuh, orang ramai masih percaya kepada balasan setimpal," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan deligasi empat anggota Komisi 1: Pertahanan, Luar Negeri dan Informasi, Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia diketuai Helmy Fauzi di bangunan Parlimen pada Rabu.

Sabtu lepas, Nazri berkata ketika ini lebih separuh daripada kira-kira 900 pesalah yang dijatuhkan hukuman mati adalah pesalah dadah.

Beliau berkata 86 daripada mereka yang dijatuhkan hukuman mati itu ialah warga Indonesia.

"Selain 75 pesalah dadah, sembilan dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan masing-masing seorang atas kesalahan dibawah Akta Penculikan 1961 dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

"Daripada 86 warga Indonesia itu juga 64 orang masih dalam proses rayuan manakala selebihnya telah selesai proses rayuan," katanya.

Beliau berkata seorang warga Malaysia telah dijatuhkan hukuman mati di Indonesia atas kesalahan melibatkan dadah.

"Kita akan membuat rayuan atas hukuman mati ini. Pihak berkuasa Indonesia juga sedang menjalankan siasatan terhadap empat kes dadah yang membawa hukuman mati melibatkan warga Malaysia," katanya.

Mengulas kajian terhadap pelaksanaan hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Nazri berkata kajian itu perlu dibuat kerana hukuman mati dilihat kurang berkesan membendung masalah pengedaran dadah di negara ini.

"Ramai yang ditangkap dengan dadah itu hanyalah keldai dadah. Kita tidak mahu terus-terusan menggantung keldai dadah sedangkan ketua mereka masih bebas. Cara terbaik ialah memberkas ketua mereka (kerana) menggantung keldai dadah semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah.

"Kita juga mahu melakukan justifikasi terhadap rayuan kita ke atas warga Malaysia yang dihukum mati di luar negara kerana dadah. Kita tidak boleh melakukan justifikasi dengan berkesan jika kita sendiri menghukum mati mereka yang bersalah atas kesalahan dadah," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain