suria

Anggota Tentera Antara Tiga Ditahan Menyamun Bersenjata Api

Pegawai penyiasat menunjukkan senjata yang digunakan oleh penyamun sambil diperhatikan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah (dua kiri) ketika sidang media kes samun bersenjata api, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam. -fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Seorang anggota tentera dan tiga lagi termasuk dua remaja perempuan ditahan polis Ahad lepas, dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata api di Hulu Selangor dan Kajang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata polis turut merampas sepucuk pistol jenis Walther .380, enam butir peluru dan dua bilah pisau daripada suspek.

Anggota tentera darat berpangkat lans koperal berusia 27 tahun itu berasal dari Johor Baharu dan dilapor lari daripada tugas sejak 22 Mac lepas, katanya pada sidang media di sini Selasa.

Dia ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 29 tahun dan pasangan masing-masing berusia 19 dan 18 tahun di dalam sebuah kereta di simpang tiga Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di pekan Rasa, kata Mohd Adnan.

Menurutnya polis juga menemui dua peket mengandungi serbuk dipercayai dadah jenis syabu daripada seorang suspek.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan itu terbabit dalam sekurang-kurangnya tiga kes di Hulu Selangor dan Kajang berhubung jenayah samun menggunakan pistol.

"Kita juga percaya kumpulan ini terbabit dalam kes mencederakan mangsa seorang wanita yang cedera ditetak di bahagian kepala dalam satu kejadian di Hulu Selangor pada 11 Ogos lepas," katanya.

Ujian air kencing ke atas suspek lelaki mendapati mereka positif syabu dan seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau bersabit penyalahgunaan dadah, kata Mohd Adnan.

Polis katanya menyiasat kemungkinan kumpulan itu terbabit dalam jenayah samun lain di Lembah Klang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain