suria

Tertuduh Nafi Buat Pakatan Tidak Libatkan Pathmanabhan

SHAH ALAM: Tertuduh kedua dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini, pada Selasa menafikan bahawa dia telah berpakat dengan dua tertuduh lain untuk tidak melibatkan bekas peguam, N.Pathmanabhan dalam kes itu.

T. Thilaiyalagan, 21, juga tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff bahawa atas alasan itu dia memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mengetahui nombor telefon bimbit Pathmanabhan.

Tertuduh kedua itu turut menafikan Pathmanabhan ada datang ke Ladang Gadong, Banting, pada 6 Sept 2010 untuk berjumpa dengannya dan dua lagi tertuduh, R.Matan serta R. Kathavarayan.

"Saya cadangkan perjumpaan pada tarikh itu bertujuan untuk Pathmanabhan beritahu kamu apa harus dilakukan jika polis tangkap kamu," kata Ishak tetapi Thilaiyalagan menjawab tidak setuju.

Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, diperintah membela diri atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

"Awak ada dengar keterangan saksi pendakwaan sebelum ini bahawa kesan darah dijumpai di dinding tempat tinggal Matan dan Ravi (Kathavarayan) di ladang itu?," soal Ishak dan Thilaiyalagan menjawab ya.

"Bagaimana darah boleh berada di dinding itu?," soal Ishak.

"Kemungkinan darah binatang, selain itu saya tidak tahu," jawab tertuduh.

"Awak ada dengar keterangan saksi pendakwaan sebelum ini bahawa tulang manusia dijumpai di ladang itu?," soal Ishak.

"Doktor (saksi) beritahu itu kemungkinan tulang manusia," jawab Thilaiyalagan.

Kepada soalan lain, tertuduh kedua itu menafikan bahawa sebatang kayu kriket yang ditemui di Ladang Gadong adalah kepunyaan pekerja ladang itu.

Pada perbicaraan sebelum ini, saksi ke-86 pendakwaan, Pengarah bahagian forensik Jabatan Kimia Lim Kong Boon mengesahkan bahawa profil DNA Noorhisham Mohamad diperoleh daripada kesan darah pada kayu kriket itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung Khamis ini. - BERNAMA

Artikel Lain