suria

Sindiket Dadah Antarabangsa Jadikan Pusat Perniagaan Sebagai Pangkalan

KUALA LUMPUR: Polis mendedahkan sindiket dadah antarabangsa menggunakan premis perniagaan sah di negara ini sebagai pangkalan menyeludup masuk dadah dengan menyembunyikannya dalam barangan diimport seperti pinggan mangkuk dan pakaian.

Ini berikutan penahanan seorang lelaki Pakistan bersama 61.54 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM2.55 juta dalam serbuan di sebuah rumah kedai menjual pinggan mangkuk di Kondominium Putra Majestic, Jalan Kasipilay, Sentul petang Isnin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dalam serbuan di premis itu pada pukul 1 petang, polis menemui 20 bongkah kayu yang berisi 180 bungkusan dadah dalam plastik lutsinar.

Beliau berkata penjaga premis itu, berusia 47 tahun ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

"Dadah itu disimpan bawah bahagian bongkah kayu yang diubahsuai dengan dalamnya diisi pinggan mangkuk, terdapat tiga barisan kayu yang ditebuk lubang untuk mengisi dadah itu. Ia bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa di lapangan terbang," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Polis sedang mencari seorang lagi rakyat Pakistan yang dipercayai terbabit dalam kes itu dan percaya sindiket itu turut didalangi oleh rakyat tempatan dan Nigeria.

Beliau berkata dadah berkenaan dijual untuk pasaran gelap tempatan.

Noor Rashid berkata pada 6 April 2011, dua lelaki rakyat Pakistan ditahan dan 155 bungkusan dadah jenis heroin bernilai RM110 juta dirampas dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Puncak Jalil, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan.

"Mereka menggunakan kotak mengandungi barangan pakaian bagi mengaburi pihak berkuasa. Mereka juga seolah-olah cuba menukar taktik apabila menggunakan pelabuhan sebagai destinasi perantaraan berbanding lapangan terbang dalam usaha membawa masuk dan mengedar dadah ke negara ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain