suria

Rumah Terbakar, Wang Tunai RM18,000 Hangus

KOTA BHARU: Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan kerugian wang tunai RM18,000 apabila rumah dua tingkat mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Nangka, Pangkalan Chepa, di sini, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, peniaga kuih, Hafizah Hashim, 30, berkata beliau kerugian kira-kira RM15,000 selepas gagal menyelamatkan wang hasil jualan kereta terpakai milik suaminya dalam kebakaran itu.

"Ketika kejadian, saya berada di gerai di hadapan rumah kerana menjual colek buah serta kuih-muih dan menyedari kebakaran tersebut selepas anak sulung, Aiman Hafizuddin (4 tahun) menjerit mengatakan ada api.

"Saya kemudian bergegas ke tingkat atas rumah untuk cuba menyelamatkan wang dan pelbagai barangan lain, namun gagal berikutan api yang sedang marak," katanya kepada pemberita, di sini.

Yang berada di rumah ketika kejadian adalah bapa Hafizah, Mohd Hashim Sulaiman, 65, dan anak bongsu berusia setahun lapan bulan.

Sementara itu, ibu Hafizah, Fatimah Yusof, 60, berkata beliau juga gagal menyelamatkan wang tunai berjumlah RM3,000 yang disimpannya di dalam rumah.

"Saya berada di gerai bersama Hafizah, manakala suami, Hashim berada di dalam rumah ketika kebakaran itut berlaku.

"Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen dan pengenalan diri sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Mohd Fakri Mazlan berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.53 petang dan dua jentera bersama 10 anggota ditugaskan ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran. - BERNAMA

Artikel Lain