suria

Penjenayah Larikan RM180,000 Wang ATM Melalui Lubang Sampah

PETALING JAYA: Sekumpulan penjenayah melarikan wang RM180,000 setelah memecah masuk ke ruang mesin pengeluaran wang automatik (ATM)Agro Bank melalui laluan sampah di Dataran Sunway, Kota Damansara di sini, awal pagi Isnin.

Jurucakap polis berkata kejadian dipercayai berlaku antara 3 hingga 5 pagi dengan penjenayah memecah masuk melalui lubang sampah untuk mengelak dikesan alat rakaman dan sistem penggera sebelum mengumpil mesin ATM tersebut.

Pengawal bertugas tidak menyedari kejadian itu dan ia hanya disedari apabila kakitangan bank mendapati mesin berkenaan dipecahkan sebelum memaklumkan kepada polis, kata jurucakap polis.

Katanya, anggota polis bahagian forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian. -BERNAMA

Artikel Lain