suria

Penduduk Bukit Bandaraya Bantah Cadangan Bina 'Menara Kembar' Di Lereng Tidak Stabil

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penduduk Bukit Bandaraya, Bangsar, yang dilanda kebimbangan berhubung cadangan pembinaan sebuah kondominium ala 'menara kembar' setinggi 14 tingkat di lereng bukit yang tidak stabil keadaannya, merayu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tidak meluluskan projek itu kerana boleh membahayakan nyawa dan harta benda.

Bercakap bagi pihak penduduk terbabit, peguam Chan Mo Lin berkata, lereng bukit yang dimaksudkan itu menjadi tidak stabil sebanyak dua kali pada 2010 berikutan hujan lebat.

Kejadian itu menyebabkan hartanah di Jalan Kapas, yang mengandungi sebuah banglo tiga tingkat, retak dan temboknya beralih 12 inci (kira-kira 30cm)ke hadapan hingga mengakibatkan tiang serta jubin lantai sebuah daripada dua rumah miliknya di Jalan Medang Tanduk di bahagian bawah lereng berkenaan mengalamai keretakan, katanya kepada Bernama pada Selasa.

Chan berkata, selepas kejadian itu, pemilik hartanah di bahagian atas bukit berkenaan mengukuhkan keadaan tanah dengan membina tembok kaison, tetapi meruntuhkan banglonya dan bercadang membina sebuah kondominium 10 tingkat di tapak berkenaan, yang dilengkapi tempat letak kenderaan empat tingkat di bahagian bawahnya.

DBKL tidak mengeluarkan perintah pembangunan setelah penduduk sekitarnya, termasuk dari Contessa Condominium bersebelahan hartanah itu, membuat bantahan.

Bagaiamanapun, perkara itu tidak menghalang pemiliknya daripada mengadakan usaha sama dengan sebuah syarikat senaraian awam untuk membina 'menara kembar' berkenaan.

"Walaupun lereng itu diperkukuh dengan pembinaan tembok kaison, alasan utama saya membuat bantahan ini ialah pembangunan yang dibuat di bahagian lereng bukit yang curam serta tidak kukuh itu mendedahkan kepada bahaya kemungkinan ia akan runtuh. Ia boleh meragut banyak nyawa, bukan saja jiran terdekat seperti saya dan ramai lagi yang tinggal di bahagian bawah, tetapi juga penghuni Contessa, yang akan menggelungsur akibatnya, penduduk menara kembar itu sendiri dan mereka yang lalu-lalang di sepanjang Jalan Medang Tanduk. Jika ini terjadi, ia merupakan satu malapetaka.

"Para jurutera pihak pemaju sudah tentu akan menunjukkan lukisan dan struktur yang mereka dakwa selamat. Tapi, itulah juga yang dilakukan para jurutera Highland Towers dan banyak projek pembangunan di lereng bukit lain yang telah runtuh. Highland Towers runtuh selepas 16 tahun ia siap dibina," katanya.

Beliau berkata, sekiranya bangunan yang dicadangkan itu runtuh kelak, betapa besar pun kekesalan atau jumlah pampasan yang diberi, tidak akan dapat menebus nyawa manusia yang sudah melayang seperti yang terbukti berlaku dalam beberapa kejadian lereng runtuh di sekitar Kuala Lumpur beberapa tahun lepas.

"Jika mereka (DBKL) mempunyai sekelumit pun perasaan ragu-ragu, yang sepatutnya mereka miliki berdasarkan apa yang pernah berlaku di lereng bukit yang tidak stabil ini, maka satu-satunya keputusan yang boleh dan mesti mereka ambil ialah menolak sepenuhnya pembangunan ini," kata Chan.

Seorang lagi peguam, Datuk Nik Hussain Ali, berkata, DBKL boleh menggunakan budi bicaranya sama ada meluluskan atau menolak cadangan projek itu setelah menimbang semua fakta dan sekiranya terdapat bantahan daripada orang ramai.

Kira-kira 20 tahun lepas, petisyen yang dihantar Nik Hussain bersama beberapa pemilik hartanah di Jalan Bruas, Damansara Heights kepada DBKL, berjaya menyekat cadangan pembinaan sebuah bangunan tinggi di satu lereng bukit di kawasan itu.

Marceline Lemarie, seorang warga Perancis dan CEO kumpulan Katchi Group Sdn Bhd, pula berharap DBKL dan pihak berkuasa tempatan lain menyedari peri pentingnya melindungi nyawa dan harta benda dengan tidak memberi kelulusan bagi pembangunan di lereng bukit yang boleh mengundang bahaya.

"Di Perancis, pihak berkuasa tempatan sentiasa menjaga keselamatan orang ramai dan akan hanya memberi kelulusan kepada pembangunan yang tidak mempunyai kemungkinan membahayakan nyawa, walaupun kemungkinan itu amat tipis akan berlaku," katanya.

Lemarie, yang menyewa rumah milik Chan, berkata "Syarikat saya membawa masuk berjuta-juta ringgit untuk melabur di sini. Apa yang saya harapkan hanyalah tempat tinggal yang selamat kerana saya bercadang untuk tinggal di rumah ini selagi saya berada di Malaysia."

Mengimbas kembali perkara yang berlaku apabila beliau menghubungi pemilik hartanah di bahagian atas bukit berkenaan selepas tembok penahan beralih dan jubin rumahnya retak, Lemarie berkata, beliau tidak akan lupa jawapan ringkas dan kasar yang diberi lelaki itu.

"Dia langsung tidak mempedulikan keselamatan dan kebajikan saya dalam keadaan yang begitu berbahaya dan serius itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain