suria

MB Selangor Nafi Benarkan TNB Bina Kabel Bervoltan Tinggi Di Cheras

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan memberi kebenaran kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) membina kabel bervoltan tinggi merentasi beberapa kawasan di Cheras yang berada di bawah bidang kuasa negeri.

Katanya beliau telah mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) agar tidak memberi kelulusan kepada TNB selepas menerima bantahan dan aduan penduduk setempat pada 2010.

"Tetapi TNB baru-baru ini telah meneruskan kembali pembinaan kabel tersebut di Cheras yang berada di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terutama di kawasan Taman Connaught manakala di Selangor pembinaan tidak diteruskan," katanya dalam kenyataan, di sini, Selasa.

Abdul Khalid mengulas dakwaan MCA sebelum ini bahawa beliau memberikan kelulusan untuk membina kabel berkuasa tinggi itu ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Abdul Khalid yang juga Anggota Parlimen Bandar Tun Razak mencadangkan TNB dan DBKL bertemu dengan penduduk terlibat dalam tempoh dua minggu ini untuk mencari jalan bagi menyelesaikan perkara itu demi kebaikan semua pihak.

Media melaporkan projek pembinaan kabel berkuasa tinggi oleh TNB di sekitar Cheras mendapat bantahan kira-kira 500 penduduk di kawasan berhampiran iaitu Cheras Hartamas dan Taman Bukit Segar Jaya. - BERNAMA

Artikel Lain