suria

KPT Sasar 30 Peratus Atlet Negara Pelajar IPT Pada 2015

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan sebanyak 30 peratus atlet negara terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) menjelang 2015.

Setiausaha Bahagian Sukan KPT Dr Shaharudin Ismail berkata kementerian kini giat mencungkil bakat atlet dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagaimana pendekatan yang diambil universiti di Eropah.

"Pada Olimpik London, sebanyak 35 peratus daripada keseluruhan atlet negara adalah pelajar IPT.

"Oleh itu, dengan penganjuran temasya seperti Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2012, kita harap lebih ramai atlet IPT yang kompetetif setaraf dengan atlet elit negara yang ada sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat bersama media sempena SUKIPT 2012 di Hotel Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini, Selasa.

SUKIPT 2012 akan berlangsung bermula Ahad ini sehingga 11 November depan dan akan mempertandingkan 15 acara sukan.

Shaharudin berkata dengan penganjuran SUKIPT 2012, Malaysia tidak akan ketandusan atlet pelapis yang bakal diserapkan sebagai atlet elit negara pada masa akan datang. - BERNAMA

Artikel Lain